KUALA LUMPUR, 6 Mei — Industri acara perniagaan Malaysia terus mengukuhkan peranannya dalam memacu pertumbuhan ekonomi, pembangunan pengetahuan dan kesalinghubungan global melalui kerjasama lebih kukuh antara kerajaan, penggiat industri dan persatuan profesional.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata kementerian itu kekal komited untuk memperkukuh ekosistem acara perniagaan Malaysia.
“Menerusi kerjasama kukuh antara kerajaan, penggiat industri dan persatuan profesional, Malaysia kekal berada di kedudukan baik untuk menarik pameran, mesyuarat korporat dan insentif serta persidangan antarabangsa berimpak tinggi menerusi ekosistem acara perniagaan yang semakin berkembang,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Persatuan 2026 Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) di sini.
Shaharuddin berkata Hari Persatuan MyCEB berperanan sebagai platform penting yang menghimpunkan kalangan pemimpin persatuan serta penggiat industri acara perniagaan.
“Tema tahun ini — ‘Governing with Purpose. Leading with Impact’ — amat tepat pada masanya dan sangat relevan.Tema ini menekankan peranan persatuan yang semakin berkembang, bukan sahaja sebagai badan profesional malah juga sebagai rakan strategik yang memacu pertukaran pengetahuan, meningkatkan kecemerlangan industri dan kesalinghubungan global,” katanya.
Beliau berkata MOTAC kekal komited untuk menyokong ekosistem acara perniagaan Malaysia melalui inisiatif strategik MyCEB termasuk memperluas kerjasama antarabangsa, mempercepat penggunaan digital dan menerapkan amalan kemampanan seiring dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing berkata persatuan terus berperanan sebagai pemboleh utama dalam ekosistem acara perniagaan dengan memacu inovasi, memudahkan pertukaran pengetahuan dan menarik acara antarabangsa ke Malaysia.
“Persatuan bukan sekadar komuniti profesional. Mereka ialah pemangkin kemajuan, menghubungkan kepakaran, memajukan inovasi dan membentuk piawaian industri di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.
Beliau berkata persidangan dan konvensyen antarabangsa bukan sahaja menjana nilai ekonomi, malah juga memudahkan pertukaran idea, teknologi dan kepakaran yang memberikan manfaat kepada industri dan komuniti.
Program Kesatria Malaysia oleh MyCEB berjaya mendapatkan 111 acara perniagaan antarabangsa, menarik lebih 135,000 perwakilan dan menjana impak ekonomi bernillai kira-kira RM1.74 bilion setakat ini, katanya.
Tan berkata program seperti MyTripleE 3.0 menerusi kempen “Meet in Malaysia” dirangka untuk menyokong penganjur dalam melaksanakan acara berimpak dan sedia masa depan melalui sokongan pemasaran yang lebih berkesan, penyepaduan kemampanan dan penggunaan teknologi.
Secara berasingan, Presiden Pertubuhan Eksekutif-Eksekutif Persatuan Malaysia (MSAE), Prof Dr Lydia Abdul Latif berkata persatuan perlu berkembang melangkaui peranan tradisional dan menumpukan kepada penyampaian nilai bermakna kepada anggota dalam menghadapi cabaran industri yang semakin sengit.
“Kita hidup dalam zaman yang kesetiaan anggota tidak lagi diberi sebaliknya perlu diraih melalui ketelusan, kecekapan dan nilai yang nyata.
“Anggota kami bukan sekadar mahukan sijil, mereka juga mahukan rakan dalam kelangsungan profesional,” katanya.
Dr Lydia berkata persatuan kini menghadapi tekanan yang semakin hebat untuk kekal relevan memandangkan kalangan anggota kian mengutamakan penglibatan berasaskan nilai, sokongan profesional dan hasil yang bermakna berbanding model penyertaan konvensional.
MSAE turut menumpukan kepada usaha memperluas kehadirannya di Malaysia Timur dan meningkatkan profesionalisme melalui inisiatif pendidikan termasuk perancangan untuk program pensijilan profesional bagi eksekutif persatuan.
Menurut MyCEB, edisi kelima Hari Persatuan MyCEB itu menghimpunkan pemimpin persatuan, penggubal dasar dan pihak berkepentingan industri untuk memperkukuh kerjasama serta memajukan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama acara perniagaan.

















Tinggalkan Balasan