PM Anwar Ketuai Delegasi Ke Cebu Untuk Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48

CEBU (Filipina), 6 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di sini yang berlangsung dari 7 hingga 8 Mei.

Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony berkata pemimpin ASEAN dijangka membincangkan kesan konflik Asia Barat terhadap rantau Asia Tenggara dan tindak balas blok itu dalam memastikan keselamatan tenaga serta makanan serantau.

Beliau berkata penyertaan Malaysia menunjukkan komitmen dan keazamannya untuk mengukuhkan pemusatan, perpaduan dan daya tahan ASEAN dalam persekitaran global yang semakin kompleks.

“Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan akan menjadi peluang bagi Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu berhubung pembinaan Komuniti ASEAN dan langkah ke hadapan.

“Perbincangan juga akan tertumpu pada kesan krisis di Asia Barat terhadap rantau Asia Tenggara dan tindak balas ASEAN ke arah memastikan keterjaminan tenaga dan makanan serantau, serta keselamatan warga ASEAN di kawasan terjejas,” katanya kepada pemberita Malaysia pada Rabu.

Abdul Malik berkata Anwar yang juga Menteri Kewangan akan diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Perdana Menteri turut diiringi Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah.

Setibanya Anwar pada Khamis, beliau akan menyertai Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Pada Jumaat, beliau akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan dijangka mengadakan mesyuarat sampingan dengan beberapa rakan sejawatannya di ASEAN,” tambahnya.

Sementara itu, Abdul Malik berkata pada Khamis, Mohamad akan menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-31, Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN ke-38, serta Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN.

Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN merupakan kesinambungan daripada proses yang dimulakan di bawah kepimpinan Malaysia untuk memastikan penyelarasan antara tonggak politik-keselamatan dan ekonomi.

“Ia ialah pendekatan yang semakin relevan memandangkan perkembangan serantau dan global yang berkembang,” katanya.

Filipina mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN daripada Malaysia pada 1 Jan 2026 dengan tema “Navigating Our Future, Together,” mengemudi keutamaan ASEAN menerusi tiga teras: Tonggak Keamanan dan Keselamatan, Koridor Kemakmuran, dan Pemerkasaan Rakyat.

Negara itu akan menganjurkan lebih 650 mesyuarat ASEAN, termasuk dua sidang kemuncak dan 24 mesyuarat peringkat menteri.

Cebu yang digelar Queen City of the South, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan dari 6 hingga 8 Mei 2026.

Sebagai pintu masuk antarabangsa utama Filipina selepas Manila dan diiktiraf secara meluas sebagai hab logistik maritim, Cebu mempunyai lebih 5 juta penduduk dan berfungsi sebagai pusat perdagangan, perkapalan serta pemprosesan perniagaan di selatan Filipina.

Data yang dikeluarkan oleh Penguasa Statistik Filipina menunjukkan ekonomi Cebu berkembang 5.9 peratus pada 2024, dirangsang oleh prestasi kukuh dalam sektor perkhidmatan dan industri.

Pada 2024, Cebu menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja teknologi maklumat dan pengurusan proses perniagaan (IT-BPM) sepenuh masa negara, berdasarkan data industri daripada Persatuan IT dan Proses Perniagaan Filipina.