Divesh Jadikan Masalah Kesihatan Keluarga Pembakar Semangat Raih Kejayaan

IPOH, 7 Mei — Keperitan menyaksikan kedua ibu bapanya berdepan masalah kesihatan sejak beberapa tahun lepas menjadi pembakar semangat untuk cemerlang dalam pelajaran, sekali gus mengubah nasib keluarganya demi kehidupan yang lebih baik.

A. Divesh, 18, berkata beliau sedar hanya melalui pendidikan akan membuka peluang memperoleh pekerjaan yang baik dan membantu meringankan beban keluarga pada masa depan.

“Bapa saya (C. Anbarasan, 51) sebelum ini bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah pusat hiburan di Genting Highlands. Beliau terpaksa berhenti kerja pada 2021 selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik manakala ibu (Ooi Paik Luan, 47) yang bekerja di sebuah hotel di kawasan sama turut bersara awal pada 2019 selepas diserang angin ahmar.

“Kesukaran yang saya lalui ini menjadi satu ‘kekuatan’ untuk terus belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib keluarga suatu hari nanti,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) San Min, Teluk Intan itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Perak bersama Anak-Anak Cemerlang Program Tuisyen Cikgu Saarani di sini hari ini.

Terdahulu, Divesh adalah antara 36 pelajar cemerlang di bawah Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) dan Biasiswa Menteri Besar Perak yang menerima insentif khas berjumlah RM36,000 secara keseluruhan pada majlis yang dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Anak bongsu daripada dua beradik yang memperoleh keputusan 8A+, 1A dan 1A- dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 itu juga memaklumkan beliau telah mendapat panggilan untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Gopeng selain sedang menunggu beberapa tawaran yang bersesuaian.

Divesh ketika ditanya mengenai insentif yang diterima menyifatkan ia sebagai satu penghargaan dan akan digunakan sebaiknya untuk menyediakan kelengkapan pengajian serta keperluan asas lain.

Sementara itu, Raja Intan Irdyna Raja Idzwan, 18, yang memperoleh 8A dalam peperiksaan SPM sebelum ini berkata Program Tuisyen Cikgu Saarani menjadi antara pemangkin kejayaan yang banyak membantunya meningkatkan kefahaman dalam pelajaran serta keyakinan untuk menghadapi peperiksaan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun, Ipoh itu berkata pendekatan pembelajaran berperingkat yang dilaksanakan dalam program berkaitan memudahkannya memahami subjek yang sebelum ini dianggap sukar, selain memberi ruang untuk berkongsi ilmu bersama rakan-rakan lain.

“Sebagai contoh, semasa di tingkatan empat saya tidak pernah dapat A dalam subjek Matematik dan selepas ikut program ini, ditambah dengan usaha sendiri serta bimbingan cikgu, saya akhirnya berjaya meningkatkan prestasi sehingga mendapat keputusan yang lebih baik dalam SPM,” katanya.

Raja Intan berkata setakat ini beliau telah menerima tawaran melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Perlis dalam bidang perakaunan, selain turut menerima panggilan untuk menduduki peperiksaan temu duga di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

Beliau berkata wang insentif yang diterima akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menyediakan beberapa kelengkapan pembelajaran.

Program TCS yang diperkenalkan sejak 2010 itu telah membantu 250 pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang profesional termasuk doktor, jurutera, tentera serta pelbagai kerjaya lain.

Menerusi Biasiswa Menteri Besar Perak yang diperkenalkan sejak 2019 pula, ia telah memberi manfaat kepada 7,627 pelajar bagi peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan jumlah peruntukan melebihi RM8.12 juta.

Program itu diharap akan terus menyuntik semangat anak-anak negeri untuk melakar kejayaan yang lebih tinggi, sekali gus memperkukuh usaha melahirkan generasi Perak yang berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada masa depan negeri.