KUANTAN, 7 Mei – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan supaya kes penyelewengan diesel bersubsidi yang melibatkan penyalahgunaan fleet card tidak lagi diselesaikan melalui kompaun, sebaliknya dibawa ke mahkamah untuk tindakan pendakwaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah tegas itu perlu susulan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang melibatkan jumlah besar serta memberi kesan kepada usaha kerajaan membanteras ketirisan subsidi.
“Saya telah menyampaikan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (Datuk Armizan Mohd Ali) supaya apabila kes seperti ini diambil alih, kertas siasatan dibuka dan tidak berakhir dengan kompaun, sebaliknya diteruskan sehingga ke peringkat pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Wira MADANI anjuran Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Saifuddin berkata pemilik fleet card yang terbukti menyalahgunakan kemudahan itu wajar dikenakan tindakan lebih tegas, termasuk pembatalan hak penggunaan kad berkenaan.
“Pemilik fleet card itu patut dibatalkan terus daripada menggunakan kemudahan tersebut kerana ia melibatkan beratus ribu liter, bukan 10 atau 20 liter,” katanya.
Menurutnya polis minggu lepas turut berjaya menggagalkan sindiket penyalahgunaan kad berkenaan di Kedah, apabila pemilik fleet card yang layak membeli diesel subsidi pada harga RM2.15 seliter menyerahkan kad tersebut kepada sindiket, sebelum diesel berkenaan dijual semula kepada sektor industri pada harga tanpa subsidi.
Mengulas keputusan kerajaan menempatkan anggota polis di stesen minyak berisiko tinggi terutama di sempadan negara, beliau berkata langkah penguatkuasaan itu akan diteruskan sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
“Alasannya mudah, ketika kita sedang bergelut memastikan bekalan mencukupi dalam situasi krisis bekalan global, perbuatan penyeludupan dan penyalahgunaan ini sangat tidak wajar. Dalam kes ini, polis memainkan peranan membantu memastikan tiada ketirisan yang merugikan negara,” katanya.
















Tinggalkan Balasan