BNM Dijangka Kekalkan OPR Pada Paras Semasa Sepanjang Baki Tempoh 2026

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Keputusan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang dikekalkan pada paras semasa 2.75 peratus pada Khamis mengukuhkan jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menetapkan kadar tersebut tidak berubah bagi sepanjang baki tempoh 2026.

Jangkaan itu timbul walaupun bank pelaburan dan cabang penyelidikan mengingatkan bahawa ketegangan geopolitik yang berpanjangan serta harga minyak yang tinggi masih boleh mengubah unjuran inflasi.

Menurut Penyelidikan Pelaburan Global HSBC, BNM membuat perubahan kecil namun ketara dalam kenyataannya apabila menjelaskan pendirian dasar monetari itu sebagai “konsisten” dengan prospek semasa, daripada “menyokong”.

Bagaimanapun cabang HSBC itu masih berpandangan bahawa BNM berkemungkinan mengekalkan kadar itu bagi sepanjang baki tempoh tahun ini.

Ahli Ekonomi Kanan ASEAN HSBC, Yun Liu berkata BNM turut mengubah bahasa berkaitan inflasi dengan menjangkakan inflasi “meningkat sedikit” daripada “akan kekal sederhana”, mencerminkan kebimbangan yang timbul terhadap tekanan kos domestik susulan harga komoditi global yang tinggi.

“Malaysia berada pada kedudukan yang lebih berdaya tahan berbanding negara serantau lain kerana Malaysia ialah pengeksport bersih tenaga. Ini tidak bermakna Malaysia akan terlindung daripada kejutan tenaga namun, dijangka impak lebih kecil berbanding terhadap ekonomi Asia yang lain,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut RHB Investment Bank Bhd pula, dasar monetari akan terus bergantung kepada data, berpandukan khususnya prospek pertumbuhan dan trend inflasi, manakala asas ekonomi yang kukuh serta inflasi terkawal tverus menyokong pendirian dasar yang secara umumnya stabil.

Bank pelaburan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 4.7 peratus, namun menjangkakan kenaikan berterusan harga minyak kepada US$140 setong boleh mengurangkan antara 0.5 hingga satu mata peratusan daripada prospek pertumbuhan Malaysia.

Sementara itu Perbendaharaan dan Penyelidikan Pasaran CIMB pula berpandangan kenyataan terkini BNM mengandungi pengakuan yang lebih jelas bahawa peningkatan harga tenaga serta gangguan rantaian bekalan akibat konflik di Asia Barat sudah mula mempengaruhi momentum pertumbuhan global.

Menurutnya bank pusat kekal melihat tekanan inflasi semasa sebahagian besarnya didorong oleh penawaran dan bersifat sementara, sekali gus mengukuhkan jangkaan terhadap pengekalan OPR untuk tempoh lebih panjang berbanding pengetatan awal.

CIMB turut menjelaskan pendedahan perdagangan langsung Malaysia kepada kalangan negara Majlis Kerjasama Teluk, Iran dan Iraq adalah kekal sederhana pada sekitar 1.5 hingga 2.0 peratus daripada jumlah eksport.

Perkara itu menunjukkan kesan keseluruhan dijangka berlaku melalui harga komoditi dan aliran permintaan global berbanding gangguan perdagangan secara langsung, tambahnya.

MBSB Investment Bank Bhd juga mengekalkan jangkaan bahawa OPR terus ditetapkan pada kadar itu tahun ini, disokong oleh pertumbuhan domestik yang berdaya tahan, keadaan pasaran guna tenaga yang positif, aktiviti pelaburan berterusan dan permintaan berterusan terhadap eksport elektrik dan elektronik.

Bank pelaburan itu memaklumkan bagaimanapun, konflik geopolitik yang berpanjangan boleh menyebabkan harga tenaga global kekal tinggi dan berkemungkinan mendorong tinjauan inflasi “tinggi untuk tempoh lebih lama” bagi baki tahun ini.

“Oleh yang demikian, langkah dasar kerajaan, khususnya subsidi bahan api dan intervensi bersasar, akan menjadi penting dalam mengekang kemungkinan peningkatan tekanan inflasi,” tambahnya.

 Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada Khamis memutuskan OPR dikekalkan pada paras 2.75 peratus. Kadar itu tidak berubah sejak penurunan sebanyak 25 mata asas pada Julai 2025.

Dalam kenyataan hari ini, bank pusat menjelaskan pada paras OPR semasa, MPC berpendapat pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.