SIBU, 8 Mei — Sarawak diiktiraf sebagai contoh kejayaan pembangunan inklusif berteraskan perpaduan, kebersamaan etnik dan keharmonian rakyat, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 menunjukkan, Sarawak mencatat skor tertinggi di negara ini iaitu 0.791, sekali gus membuktikan asas perpaduan di negeri itu kekal kukuh dan berdaya tahan.
“Ini hasil budaya hidup bermasyarakat yang menekankan nilai kebersamaan dan saling menghormati. Kejayaan ini wajar dijadikan rujukan dalam memperkukuh perpaduan pada peringkat nasional,” katanya ketika merasmikan Kanowit Cultural Festival 2026 Siri 1 di Kanowit Waterfront hari ini.
Beliau berkata penganjuran julung kali festival itu, memberi tumpuan kepada usaha memelihara dan memperkukuh adat serta warisan etnik, selain menjana sosioekonomi komuniti setempat melalui penjualan produk tempatan dan pengukuhan perpaduan masyarakat.
Festival bermula hari ini hingga 31 Mei itu, menampilkan pelbagai pengisian termasuk Bazar Gawai, Program Niti Daun (perarakan Hari Gawai), pertandingan Betaboh dan Ngajat serta Pekit Kumang.
Aaron turut berharap festival berkenaan dapat disenaraikan dalam kalendar acara rasmi Sarawak Tourism Board sebagai acara ikonik Kanowit, seiring Pesta Kanowit yang dianjurkan setiap Oktober.
Terdahulu Aaron menyertai Program Niti Daun di Kanowit yang berlangsung meriah sempena permulaan sambutan Hari Gawai, dengan penyertaan pelbagai kaum termasuk Iban, Melayu, Cina, Bidayuh dan Orang Ulu.
Sebanyak 36 kontinjen menyertai perarakan mengelilingi pekan Kanowit dengan busana tradisional berwarna-warni serta persembahan tarian pelbagai etnik, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

















Tinggalkan Balasan