Unit TNB Raih RM1.05 Bilion Melalui Sukuk Sri Hijau ASEAN Bagi Projek Solar Di Kedah

KUALA LUMPUR, 8 Mei — Anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Renewables Sdn Bhd melalui unitnya TNB Kuala Muda Solar Sdn Bhd menerbitkan sukuk bernilai RM1.05 bilion melalui Sukuk Wakalah Hijau ASEAN bagi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) untuk membiayai projek solar fotovolta (PV) di Kedah.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, menurutnya TNB Kuala Muda Solar telah diberikan peranan untuk menguruskan reka bentuk, kejuruteraan, pembelian, pembinaan, pemasangan, pengujian, pengoperasian, pemilikan, operasi dan penyelenggaraan bagi kemudahan PV solar berskala besar dengan kapasiti terpasang arus ulang-alik 500 megawatt di Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah.

Menurut kumpulan utiliti itu, sukuk berkenaan diterbitkan dalam 17 tranche.

TNB memaklumkan hasil yang diperoleh daripada sukuk itu akan digunakan untuk tujuan patuh Syariah, menurut Rangka Kerja Kewangan Peralihan TNB yang dikeluarkan pada 24 Sept 2024.

Menurut TNB, hasil itu akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada kos projek, termasuk pembayaran atau pembayaran balik kepada penaja projek bagi perbelanjaan yang ditanggung sebelum pemuktamadan pembiayaan serta pembayaran balik pinjaman sedia ada atau kemudahan pembiayaan Islam.

TNB memaklumkan, sebahagian daripada hasil sukuk itu juga akan diperuntukkan untuk pendanaan awal akaun rizab perkhidmatan pembiayaan, bersamaan enam bulan bayaran perkhidmatan pembiayaan seterusnya di bawah program sukuk, keperluan modal kerja semasa fasa awal operasi projek serta perbelanjaan berkaitan penerbitan sukuk.

Menurutnya CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat utama bersama, pengatur utama bersama dan pengurus utama bersama untuk Sukuk Wakalah SRI Hijau ASEAN.

Menurutnya penyerahan dokumen berkaitan program sukuk telah dihantar kepada Suruhanjaya Sekuriti pada 3 Mac 2026.