KUALA LUMPUR, 8 Mei — Kumpulan MISC (MISC) mengumumkan penamaan dua kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) generasi baharu, Seri Dian dan Seri Dayang, sekali gus memperkukuh kerjasama jangka panjangnya dengan Seariver Maritime LLC (SRM), anak syarikat milik penuh ExxonMobil.
MISC dalam kenyataan memaklumkan dengan penambahan kedua-dua kapal itu, syarikat kini mempunyai empat kapal LNG di bawah pajakan masa jangka panjang bersama SeaRiver Maritime, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap keupayaan MISC dalam menyediakan operasi yang selamat, boleh dipercayai dan cekap.
Menurut kenyataan itu, kapal LNG berkapasiti 174,000 meter padu yang dibina oleh Hanwha Ocean Co., Ltd. berkenaan dilengkapi teknologi pintar dan cekap tenaga, termasuk sistem Intelligent Control by Exhaust Recycling (ICER).
“Kapal ini turut dilengkapi sistem pengekalan kargo yang dipertingkat dengan kadar penyejatan rendah bagi meningkatkan kecekapan operasi serta menyokong tahap keselamatan yang lebih tinggi,” menurut kenyataan itu hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC Zahid Osman, berkata penamaan kedua-dua kapal itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam merealisasikan strategi Delivering Progress MISC yang dipacu pertumbuhan berdisiplin dan kecemerlangan operasi dalam penghantaran tenaga secara selamat, boleh dipercayai serta cekap.
“Kerjasama kami dengan SeaRiver Maritime yang berasaskan kepercayaan dan prestasi kukuh membuktikan bagaimana sinergi strategik mampu menterjemahkan aspirasi bersama kepada tindakan yang bermakna.
“Pengurusan projek yang lancar turut menyumbang kepada pencapaian kumulatif dua juta jam kerja tanpa kecederaan setakat 30 Mac 2026, dengan rekod sifar kehilangan masa akibat kecederaan (Zero Lost Time Injury), sekali gus membuktikan bahawa apabila kebajikan insan diutamakan, prestasi cemerlang akan menyusul,” katanya.
Ketika ini, armada LNG MISC merangkumi 32 kapal, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemilik dan pengendali kapal LNG terkemuka dunia yang diiktiraf menerusi standard keselamatan tinggi, kecemerlangan operasi serta penghantaran kargo yang diyakini.
MISC, syarikat di bawah Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), mempunyai lebih 55 tahun pengalaman dalam industri maritim global dengan menyediakan pelbagai penyelesaian merentasi rantaian nilai tenaga berkaitan maritim serta rangkaian operasi antarabangsa yang luas.

















Tinggalkan Balasan