SINGAPURA, 9 Mei — Pemimpin ASEAN memulakan perbincangan mengenai idea untuk mewujudkan simpanan stok bahan api serantau di tengah-tengah krisis tenaga global yang berterusan akibat konflik di Asia Barat, kata Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong.
Beliau berkata idea itu masih di peringkat awal, dengan hanya perbincangan singkat diadakan dalam kalangan pemimpin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 di Cebu.
“Kita sudah mempunyai simpanan stok beras di bawah ASEAN Campur Tiga, jadi persoalannya adakah kita mampu melakukan sesuatu yang serupa untuk tenaga, sama ada dalam ASEAN atau dengan rakan kongsi luar?
“Ia adalah satu idea yang dibincangkan secara ringkas dalam kalangan pemimpin, tetapi ia belum diperincikan sepenuhnya,” katanya kepada media Singapura di luar sidang kemuncak itu pada Sabtu.
Video sidang media beliau telah disediakan di saluran YouTube The Straits Times.
Menurut Wong, cadangan itu boleh dibincangkan lebih lanjut pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang, sambil menambah bahawa perkara itu boleh menjadi antara agenda utama apabila Singapura memegang jawatan pengerusi ASEAN pada 2027.
“Saya rasa menteri-menteri perlu berbincang lebih lanjut dan jika ia sesuatu yang berbaloi untuk diteruskan serta terdapat minat, maka mungkin perbincangan akan diteruskan pada sidang kemuncak seterusnya dan juga semasa kepengerusian Singapura.
“Jadi ini adalah perkara yang akan terus kami usahakan sebagai pengerusi,” tambahnya.
Menjelaskan lebih lanjut, Wong yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai bakal pengerusi ASEAN tahun depan, Singapura akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan kolektif ASEAN, memajukan usaha integrasi dan agenda pembinaan komuniti.
Sementara itu, mengulas mengenai kesan gangguan bekalan global di tengah-tengah konflik Asia Barat, beliau menegaskan bahawa ASEAN mesti berdiri teguh sebagai satu blok untuk mengurangkan cabaran yang sedang dihadapi.
“ASEAN mempunyai suara kolektif yang lebih besar dan mempunyai keupayaan yang lebih besar untuk membentuk hasil. Dan kita berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik untuk mengurus sebarang gangguan dan kejutan bersama-sama sebagai kumpulan serantau,” katanya.













Tinggalkan Balasan