ISTANBUL, 10 Mei — Pegawai kesihatan Amerika Syarikat (AS) sedang memperhebat usaha membendung wabak hantavirus yang dikaitkan dengan kapal persiaran MV Hondius ketika penumpang warga Amerika Syarikat bersiap sedia untuk pulang ke AS bagi menjalani pemantauan kuarantin, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik sebuah akhbar Amerika.
Kapal itu dijangka berlabuh pada Ahad di Tenerife di Kepulauan Canary, Sepanyol, tempat anggota Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) telah ditempatkan bagi membantu 17 rakyat Amerika Syarikat di atas kapal itu, menurut laporan The Wall Street Journal pada Sabtu.
Jabatan Negara AS sedang mengatur penerbangan membawa pulang penumpang terbabit dan mereka kemudiannya akan dipindahkan ke Unit Kuarantin Kebangsaan di Pusat Perubatan Universiti Nebraska di Omaha, tambah laporan itu.
Kapal MV Hondius yang membawa kira-kira 150 penumpang dan anak kapal daripada 23 negara berlepas dari Argentina dan merentasi Lautan Atlantik sebelum melaporkan kluster penyakit pernafasan ketika belayar berhampiran Cape Verde di luar pantai Afrika Barat.
CDC mengklasifikasikan wabak itu sebagai tindak balas kecemasan Tahap 3, iaitu tahap pengaktifan kecemasan paling rendah agensi berkenaan.
Penularan melibatkan strain hantavirus Andes itu mengakibatkan lima kes disahkan, termasuk tiga kematian, menurut pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Pegawai CDC berkata penumpang akan dipantau selama kira-kira enam minggu manakala pihak berkuasa kesihatan di beberapa negeri AS turut mengesan pengembara yang telah meninggalkan kapal berkenaan sebelum wabak itu disahkan.













Tinggalkan Balasan