KOTA KINABALU, 12 Mei –Pembinaan Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) bermula secara rasmi hari ini, dengan fasa pertama dijangka menyediakan loji rawatan air sebanyak 350 juta liter sehari (MLD) menjelang akhir 2029.
Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan fasa pertama itu juga akan merangkumi saluran paip sepanjang lebih 200 kilometer dari Sipitang ke Kota Kinabalu untuk menstabilkan grid air negeri.
Syarikat itu memaklumkan projek SBAUP itu bertujuan untuk memenuhi permintaan air terawat yang semakin meningkat di koridor pantai barat Sabah, termasuk Kota Kinabalu, Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.
“Skim ini mempunyai kapasiti reka bentuk sebanyak 950 MLD dan memanfaatkan reka bentuk ‘bolt-on’ dengan Projek Hidroelektrik Ulu Padas sedia ada untuk mengoptimumkan sumber dan meminimumkan impak alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
UPPSB secara rasmi mengambil alih pengendalian kawasan pembangunan itu susulan majlis penyerahan tapak daripada Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Chee Chun Chieh kepada Pengerusi UPPSB, Datuk Adzmir Abd Rahman di Lok Kawi, di sini, hari ini.
Syarikat itu yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan infrastruktur tenaga yang mampan dan andal untuk Sabah, juga merupakan pemaju bagi Projek Hidroelektrik Ulu Padas (UPHEP).
Projek itu yang dijangka siap pada 31 Disember 2030, bakal menjana purata 1,052 gigawatt-jam (GWh) kuasa hidro bersih setiap tahun seterusnya meningkatkan kapasiti negeri sebanyak kira-kira 15 peratus dan menggandakan campuran tenaga boleh baharunya.
UPPSB merupakan anak syarikat milik penuh UPP Holdings Sdn Bhd, usaha sama strategik antara Gamuda Berhad, Sabah Energy Corporation Sdn Bhd dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.

















Tinggalkan Balasan