Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Didorong Ketegangan Asia Barat Mereda

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Khamis, disokong oleh ketegangan geopolitik yang mereda di Asia Barat.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9655/9710 berbanding dolar AS daripada 3.9675/9715 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga minyak mentah menurun selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan bahawa rundingan antara AS dan Iran hampir selesai.

Beliau berkata harga minyak mentah West Texas Intermediate dan Brent, masing-masing menurun 0.82 peratus dan 5.46 peratus kepada US$107.77 setong dan US$105.20 setong.

“Ini memberi harapan bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula tidak lama lagi, membolehkan aliran bebas minyak, gas dan barangan lain,” katanya kepada Bernama.

Katanya Indeks Dolar AS merosot 0.21 peratus kepada 99.122 mata walaupun minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan menunjukkan penggubal dasar kekal cenderung untuk menaikkan kadar faedah, dengan inflasi dijangka kekal melebihi sasaran dua peratus untuk tempoh yang panjang.

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menurun berbanding pound kepada 5.3265/3338 daripada 5.3089/3143 semasa ditutup pada Rabu, rendah berbanding euro kepada 4.6091/6155 daripada 4.5975/6022 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.4954/4991 daripada 2.4942/4969 sebelum ini.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.

Ia rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1723/1963 daripada 12.1341/1516 dan menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1027/1072 daripada 3.0969/1003 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 224.6/225.0 daripada 224.7/225.0 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.42/6.44 daripada 6.43/6.44 sebelum ini.