Malaysia Perkukuh Kepakaran Industri Rel Melalui PLKI–ECRL Di China

LIUZHOU (China), 20 Mei — Program Latihan Kemahiran Industri Projek Laluan Rel Pantai Timur (PLKI–ECRL) yang dijalankan di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), di sini membantu Malaysia menyediakan tenaga kerja mahir dalam industri rel. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata pelajar didedahkan dengan ilmu dan kemahiran termaju yang dimiliki China dalam bidang rel menerusi program operasi dan penyelengaraan (O&M) itu yang dilaksanakan selama setahun.

“Kita juga harap program ini dapat diteruskan untuk jangka masa panjang kerana apabila projek ECRL beroperasi kelak, dari semasa ke semasa perlu sentiasa ada latihan dan perlu juga mengambil pekerja-pekerja baharu,” katanya. 

Beliau berkata pihaknya turut menggalakkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)  di Malaysia melaksanakan kerjasama dengan LRVTC bagi membantu mewujudkan lebih ramai bakat dan tenaga mahir dalam sistem kereta api. 

“Apabila sudah dapat kemahiran dan pengetahuan itu mereka sangat diperlukan oleh operator-operator rel bukan sahaja dalam negara kita…malah juga boleh bekerja di mana-mana pun sebab seluruh dunia ada sistem rel,” katanya kepada media.

Loke hadir pada Majlis Graduasi Kohort Pertama Operasi dan Penyelenggaraan PLKI-ECRL yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Selasa, dengan sebanyak 66 pelatih berjaya menamatkan program tersebut.

66 Pelatih Kohort Pertama PLKI-ECRL Tamat Latihan

Mereka merupakan sebahagian daripada 259 pelatih Malaysia yang sedang mengikuti program PLKI-ECRL dalam pelbagai kursus kemahiran di LRVTC.

Pelatih itu terdiri daripada 57 penolong pegawai stesen, 50 juruteknik isyarat, 41 juruteknik talian, 19 juruteknik penyenggaraan EMU, 41 juruteknik penyenggaraan lokomotif dan gerabak serta 51 peserta dalam program penolong pemandu tren.

Program PLKI-ECRL dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction ECRL Sdn Bhd (CCCECRL)

Lepasan PLKI-ECRL Sedia Berkhidmat

Seorang daripada lepasan program itu, Nur Shafika Diana Mohd Subky, 22, berkata latihan yang dijalani memberi cabaran tersendiri terutama melibatkan penggunaan peralatan teknikal dan sistem isyarat rel.

Di samping itu terdapat tugasan yang memerlukan tenaga fizikal selain ketelitian ketika mengendalikan mesin suis dan sistem kawalan isyarat, katanya.

Beliau berkata walaupun menghadapi cabaran, program tersebut disifatkan sebagai platform terbaik untuk golongan muda mendapatkan peluang pekerjaan dalam industri rel selepas tamat pengajian.

“Program ini bagus sebab bila habis belajar nanti, kami boleh terus bekerja dengan mereka,” katanya.

Adam Faris Sufian, 22, pula berkata walaupun menghadapi kekangan pembelajaran kerana medium pengajaran menggunakan bahasa Mandarin namun mereka tetap tekun mengikuti latihan dengan bimbingan tenaga pengajar selain turut mengikuti kelas bahasa Mandarin.

“Saya juga rasa bangga kerana kami adalah kumpulan pertama yang dihantar ke sini. Saya juga berharap dapat memberikan sumbangkan walaupun sikit kepada negara melalui kemahiran yang saya ada ini,” katanya. 

Pensyarah Railway Safety Warning Show Education, Wu Yonggui berkata pada awalnya pelajar Malaysia kelihatan agak malu ketika kali pertama tiba, namun lama-kelamaan mereka menjadi lebih aktif dan bersemangat dalam sesi pembelajaran.

“Dalam tempoh antara tamat pengajian dan memulakan kerjaya sebenar, mereka mungkin memerlukan latihan standard tambahan daripada pihak ECRL.

“Bagaimanapun setakat ini graduan yang menamatkan pengajian sudah layak untuk berkhidmat sebagai penolong pegawai stesen ECRL dan dijangka mampu menunjukkan prestasi lebih baik,” katanya.

Program O&M PLKI-ECRL dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan dan latihan Malaysia bagi mendapatkan pelatih yang sesuai, khususnya penuntut diploma tahun akhir dan penuntut yang baru menamatkan pengajian.

Latihan itu dijalankan melalui gabungan pembelajaran teori teknikal di bilik darjah, sesi praktikal secara langsung, pendedahan bengkel serta latihan operasi kereta api.

LRVTC merupakan institusi vokasional khusus di Liuzhou, Guangxi yang memberikan tumpuan utama kepada pendidikan berkaitan kereta api dan pengangkutan.

Liuzhou terletak kira-kira 255 kilometer dari Nanning, ibu negeri Guangxi.