Presiden China Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin di sini, pada Rabu.
Dalam sesi bertemu wartawan selepas rundingan itu, Xi berkata bahawa ini merupakan lawatan kali ke-25 Presiden Putin ke China, sekali gus mencerminkan tahap tinggi dan keistimewaan hubungan China-Rusia.
Menurut Xi, kedua-dua pemimpin telah menandatangani kenyataan bersama bagi memperkukuh hubungan perkongsian strategik komprehensif dan memperdalam kerjasama kejiranan baik antara China-Rusia, selain menyaksikan penandatanganan beberapa dokumen kerjasama dua hala.
Xi berkata China dan Rusia akan mengikuti perkembangan arus semasa yang damai, membangun, kolaboratif dan sama menang untuk mendorong hubungan China-Rusia mencapai pembangunan yang lebih berkualiti.
Menurut Xi, kedua-dua negara perlu mengukuhkan kepercayaan politik dan meningkatkan sokongan strategik antara satu sama lain.
Di samping itu, China dan Rusia patut memperkasakan kerjasama saling menguntungkan selain bekerjasama untuk memacu pembangunan dan kemakmuran negara masing-masing, kata Xi.
Pada masa sama, Xi berkata kedua-dua negara perlu menggalakkan pertukaran antara rakyat serta mengukuhkan asas persahabatan dalam kalangan rakyat supaya hubungan erat itu dapat diwarisi dari generasi ke generasi.
Selain itu, China dan Rusia perlu menjalin koordinasi antarabangsa yang lebih baik, dan bersama-sama menambah baik tadbir urus global, kata Xi.
Sementara itu, Putin dalam sesi berkenaan menyatakan bahawa hubungan Rusia-China kini berada pada tahap tertinggi dalam sejarah.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama kedua-dua negara ini tidak menyasarkan pihak ketiga dan tidak akan terganggu oleh sebarang perubahan geopolitik.
Rusia dan China akan terus mengekalkan penyelarasan strategik yang erat di peringkat global, selain bersama-sama mempertahankan visi dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta memelihara keselamatan dan kestabilan global, tambah Putin.













Tinggalkan Balasan