Projek Naik Taraf Lorong Motosikal Lebuhraya Persekutuan Siap Ogos Depan

SHAH ALAM, 21 Mei — Projek menaik taraf lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan (FT002) yang menelan belanja sebanyak RM20 juta, kini mencecah 43 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos depan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek berimpak tinggi itu turut merangkumi pemasangan kemudahan pencahayaan bernilai RM6 juta, bagi menerangi keseluruhan jajaran demi keselamatan penunggang.

“Projek ini diluluskan di bawah Rolling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Kementerian Ekonomi, kini pelaksanaannya telah melangkaui fasa awal Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan kita harap ia akan selesai sepenuhnya dalam bulan Ogos nanti.

“Daripada keseluruhan peruntukan RM20 juta yang diluluskan itu, sebanyak RM6 juta digunakan khas untuk mendirikan lebih 800 batang lampu solar jenis Integrated solar LED (ISLED) bagi mencerahkan laluan pada waktu malam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau beberapa tapak projek menerusi Program Turun Padang ke Projek Naik Taraf Lorong Motosikal Lebuhraya Persekutuan di Batu Tiga, di sini hari ini.

Nanta berkata projek berkenaan meliputi jajaran sepanjang 48 kilometer (km) dua hala membabitkan Daerah Klang sepanjang tujuh kilometer bermula dari Seksyen 10.4 hingga 13.9 serta Daerah Petaling sepanjang 41km dari Seksyen 13.9 hingga 34.4.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor juga sedang melakukan kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan, terowong, railing jambatan, mengganti penghadang jalan serta membina kemudahan tempat berteduh khas.

“Melihat kepada tinjauan tadi, saya berpuas hati dengan perkembangan kerja-kerja yang telah bermula dan ia akan diteruskan secara berperingkat termasuk fasa penurapan jalan yang akan dibuat pada peringkat akhir nanti.

“Fokus utama sekarang ialah pembinaan dan pembesaran longkang, kerana laluan motosikal ini mempunyai beberapa kawasan tertentu yang sering mengalami masalah banjir sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nanta berkata reka bentuk asal lorong motosikal yang dibina pada tahun 70-an itu hanya mampu menampung kapasiti sekitar 20,000 pengguna setiap hari, sekali gus menyebabkan laluan itu kini berdepan isu lebihan kapasiti.

Mengulas lanjut, data terkini menunjukkan sekitar 35,000 penunggang motosikal menggunakan laluan itu setiap hari, menyebabkan jumlah trafik yang sangat tinggi.

“Apabila reka bentuk asal sudah mengalami lebihan kapasiti, penggunaannya menjadi sangat padat dan disebabkan itu kita laksanakan kerja naik taraf serta pembesaran sistem saliran bagi memastikan aliran trafik kembali teratur serta selamat.

“Kita mengharap sangat penunggang motosikal akan memanfaatkan laluan yang disediakan ini sepenuhnya apabila siap kelak dan tidak lagi menggunakan jalan utama (lebuh raya besar) demi mengelakkan kemalangan jiwa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nanta turut mengesahkan pihaknya sedang menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti laluan motosikal di lebuh raya lain, terutamanya di kawasan bandar raya yang mempunyai struktur serupa untuk tujuan naik taraf.

Beliau berkata langkah berterusan itu, mencerminkan komitmen kementerian di bawah program MyJalan dan nilai teras Malaysia MADANI bagi memastikan aspek keterhubungan, aksesibiliti serta mobiliti keselamatan jalan raya rakyat terus dipertingkatkan.