KUALA LUMPUR, 22 Mei — Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) meningkatkan hubungan dengan pelabur dari negara-negara Nordic untuk menjadikan Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) Malaysia dan ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh sebagai kelebihan utama untuk pelaburan asing berkualiti tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata syarikat dari negara-negara tersebut mempunyai potensi tinggi untuk menyertai agenda ekonomi hijau Malaysia terutamanya dalam tenaga boleh baharu, sistem bateri dan penyimpanan tenaga serta teknologi alam sekitar.
“Saya yakin bahawa banyak syarikat dari negara-negara Nordic mempunyai teknologi yang amat baik dari segi alam sekitar dan tenaga boleh baharu.
“Kami berharap syarikat dari Nordic juga dapat meraih peluang ini dalam Malaysia meneruskan agenda pengembangan dan kemampanan tenaga boleh baharu,” katanya pada sesi bual santai di acara rangkaian anjuran OCBC Bank dan Nordic Chambers and Council pada Khamis.
Sesi tersebut telah dikendalikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Dewan Perniagaan Denmark dan Profesor Adjung di Taylor’s University Prof Dr Ong Kian Ming.
Acara tersebut telah menarik perwakilan kanan daripada Dewan Perniagaan Denmark, Dewan Perniagaan Sweden, Majlis Perniagaan Malaysia Norway dan Dewan Perniagaan Eropah, selain syarikat dari negara-negara Nordic yang telah lama bertapak di Malaysia.
Sikh Shamsul Ibrahim berkata NIF, diperkenalkan pada Mac 2026, mencerminkan peralihan Malaysia ke arah menarik pelaburan yang menjana manfaat limpahan lebih baik untuk ekonomi domestik, termasuk pekerjaan bernilai tinggi dan penyertaan rantaian bekalan yang lebih kukuh oleh syarikat Malaysia.
“Bukan sahaja modal besar yang mereka bawa ke Malaysia, malah dari segi pekerjaan. Kami ingin tahu jenis kemahiran yang dibawa ke Malaysia,” katanya.
Rangka kerja tersebut mengguna pakai penilaian berasaskan kad skor meliputi kerumitan ekonomi, pekerjaan berpendapatan tinggi, rantaian perindustrian, penyelidikan dan pembangunan serta aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ia menggantikan Akta Promosi Pelaburan 1986 untuk insentif pembuatan, yang menurut Sikh Shamsul Ibrahim, pelaksanaannya berkesan pada dekad terdahulu tetapi tidak lagi sesuai dengan keutamaan ekonomi semasa.
“Akta itu mungkin sangat baik, atau ya, ia berkesan pada tahun 80-an dan 90-an. Pada ketika itu, kita hanya mahu pelaburan masuk tetapi sekarang, ia tidak lagi sesuai,” katanya.
Sikh Shamsul Ibrahim berkata MIDA terus bekerjasama dengan persatuan perniagaan, dewan perniagaan dan perunding untuk membantu pelabur memahami rangka kerja baharu tersebut.
NIF mula berkuat kuasa secara rasmi bagi sektor pembuatan pada 1 Mac 2026 manakala sektor perkhidmatan akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku ketiga 2026.

















Tinggalkan Balasan