Ade Peroleh Pembiayaan US$100 Juta Daripada QNB Group Pacu Pengembangan Serantau

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) milik Capital A Bhd, memperoleh kemudahan pembiayaan bernilai US$100 juta (US$1=RM3.95) daripada QNB Group, institusi kewangan yang beroperasi di Asia Barat dan Afrika.

Dalam satu kenyataan hari ini, ADE berkata pembiayaan itu akan menyokong pengembangan berterusan serta pertumbuhan kapasiti syarikat seiring usahanya memperluas keupayaan dan mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyedia MRO yang paling pesat berkembang di rantau ini.

“Tambahan kapasiti ini dijangka meningkatkan keupayaan ADE untuk memenuhi keperluan portfolio pelanggan syarikat penerbangan yang semakin berkembang, di samping terus menyokong pelanggan utama jangka panjangnya iaitu kumpulan AirAsia,” katanya.

Pembiayaan itu turut mencerminkan keyakinan kukuh terhadap rekod prestasi syarikat, trajektori pertumbuhan yang pesat serta potensi pengembangan jangka panjangnya.

Ketua Pegawai Eksekutif ADE Mahesh Kumar berkata syarikat MRO itu telah menyiapkan lebih 300 pemeriksaan penyelenggaraan C-check, sekali gus mencerminkan keupayaan teknikal, kapasiti operasi serta konsistensi perkhidmatannya.

“Dana ini akan mempercepat pelan pengembangan kami, melabur dalam kapasiti tambahan bagi memenuhi permintaan kukuh dan semakin meningkat terhadap perkhidmatan MRO.

“Selain itu ia memperkukuh keupayaan kami dalam menyediakan penyelenggaraan cekap bertaraf dunia yang dapat meminimumkan tempoh pesawat tidak beroperasi dan memaksimumkan prestasi pelanggan syarikat penerbangan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tony Fernandes berkata ADE yang bermula sebagai keupayaan kejuruteraan dalaman bagi menyokong AirAsia kini berkembang menjadi perniagaan perkhidmatan penerbangan yang pesat meningkat.

Ia menyokong pelbagai syarikat penerbangan global, termasuk pelanggan seperti Air France, selain menarik sokongan institusi yang kukuh.

“Saya yakin ADE akan bergerak lebih pantas, berkembang lebih jauh dan dapat merebut peluang besar dalam ruang MRO, sekali gus muncul sebagai kuasa serantau,” katanya.

Naib Presiden Eksekutif Kanan Perbankan Korporat dan Institusi Kumpulan QNB, Khalid Ahmed Al-Sada berkata pembiayaan itu merupakan satu lagi langkah penting dalam menyokong pembiayaan sektor MRO dan pertumbuhan ruang udara di pasaran Asia.

Selain itu, ia meningkatkan perluasan jejak antarabangsa QNB sejajar visinya untuk menjadi bank peneraju di rantau Asia Barat, Afrika dan Asia Tenggara (MEASEA) sambil mengekalkan kedudukan dominan pasaran.

ADE menawarkan penyelesaian kejuruteraan dan penyelenggaraan menyeluruh di seluruh rantau ini.

Rangkaian penyelenggaraan syarikat itu meliputi 20 lapangan terbang di rantau ASEAN, disokong keupayaan penyelenggaraan asas sehingga 16 slot penyelenggaraan, selain pelbagai bengkel khusus di Kuala Lumpur.

ADE turut menerima pengiktirafan sebagai Approved Maintenance Organisation (AMO) di 18 negara, selain memperoleh kelulusan EASA Part 145 Maintenance Organisation daripada European Union Aviation Safety Agency (EASA) serta pensijilan FAA daripada Federal Aviation Administration (FAA).