Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Menteri Luar Wang Yi, mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn di New York pada Rabu.
Dalam pertemuan itu, Wang berkata pihaknya bersedia bersama-sama Kemboja untuk memperkasakan kerjasama strategik komprehensif, mengeratkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, mendorong kerjasama pragmatik dalam bidang ekonomi, perdagangan, sumber tenaga, penguatkuasaan undang-undang dan kesalinghubungan.
Malah katanya, China juga komited untuk meningkatkan kerjasama pelbagai hala dengan Kemboja, bagi mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Kemboja dalam apa jua keadaan cuaca pada era baharu.
Sementara itu, Prak Sokhonn berkata pemeliharaan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat signifikan bagi mewujudkan kedamaian, keselamatan dan pembangunan mampan dunia pada masa kini.
Malah pelbagai inisiatif yang dikemukakan China juga memperlihatkan peranan China dalam bidang tadbir urus global.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pendapat mengenai konflik Kemboja-Thailand.
Ujar Wang, dialog dan rundingan antara Kemboja dan Thailand telah mencapai hasil yang positif.
Sebagai sahabat kepada kedua-dua negara, China mendorong segala bentuk dialog dan rundingan, serta bersedia untuk terus memainkan peranan positif bagi meningkatkan kepercayaan dan memperbaiki hubungan Kemboja-Thailand, kata Wang lagi.
Sementara itu, Prak Sokhonn telah menyatakan pendiriannya dan mengucapkan terima kasih atas usaha yang dilakukan China.
Beliau berkata, Kemboja bersedia mengadakan dialog dengan Thailand bagi mengurangkan perselisihan dan mewujudkan kembali hubungan normal kedua-dua negara secara berperingkat.
Untuk rekod, pertemuan itu diadakan sempena mesyuarat peringkat tinggi Majlis Keselamatan PBB di ibu pejabat PBB di New York.













Tinggalkan Balasan