KUALA LUMPUR, 28 Mei — Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama dengan Tuniu, antara agensi pelancongan dalam talian terkemuka di China, bagi memastikan negara ini kekal sebagai destinasi pilihan utama pelancong dari republik itu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata perkara itu dibincangkan semasa pertemuan beliau dengan pihak pengurusan Tuniu sempena lawatan kerjanya ke Shanghai baru-baru ini.
Beliau berkata matlamat utama perbincangan ialah memastikan lebih ramai pelancong China memilih Malaysia dalam perancangan perjalanan mereka memandangkan pasaran pelancongan keluar dari negara Tembok Besar itu sangat besar.
Tiong berkata pihak Tuniu mengakui Malaysia memiliki segala kriteria yang dicari pelancong merangkumi keindahan alam semula jadi, keunikan budaya, kepelbagaian makanan dan pengalaman kehidupan seharian yang menarik.
“Pada masa yang sama, mereka juga berterus terang bahawa masih ramai pelawat di China yang belum mengenali Malaysia dengan mendalam, justeru pendedahan yang konsisten dan lebih baik amat penting,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata sepanjang tahun lepas, Tourism Malaysia dan Tuniu melaksanakan pelbagai bentuk kerjasama termasuk lawatan pengenalan bersama dengan pempengaruh, sesi penstriman langsung serta kempen kandungan dalam talian yang membuahkan maklum balas amat menggalakkan.
Mengulas mengenai strategi masa hadapan, Tiong berkata tumpuan kini beralih kepada usaha memperkukuh pemasaran berasaskan kandungan.
“Daripada bergantung kepada risalah dan iklan biasa, penggunaan penstriman langsung bersama pempengaruh, rakaman di lokasi sebenar, video pendek dan kempen bertema bagi memaparkan pengalaman sebenar Malaysia kepada penonton di China bakal digunakan,” katanya.
Selain itu, keunikan juadah dan makanan tempatan turut dikenal pasti sebagai tarikan utama kerana Tuniu berpandangan makanan sering menjadi faktor pencetus minat yang mendorong pelawat membuat tempahan perjalanan.
Tiong berkata perbincangan turut menyentuh usaha memudahkan tempahan melalui platform Tuniu termasuk memperkukuh bahagian khusus Malaysia di portal itu selain menawarkan pakej khas menggabungkan penerbangan dengan produk pelancongan yang disusun khas.
Beliau berkata sehubungan itu, Tourism Malaysia diminta terus bekerjasama rapat dengan Tuniu bagi menterjemahkan idea berkenaan kepada program lebih konkrit supaya lebih ramai pelancong China dapat mengenali kepelbagaian, kemesraan dan daya tarikan kehidupan seharian di Malaysia.

















Tinggalkan Balasan