Insentif Pengeluaran Getah Pekebun Kecil Tidak Diaktifkan Bagi Mei 2026 – LGM

KUALA LUMPUR, 29 Mei — Lembaga Getah Malaysia (LGM) memaklumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi getah sekerap dan lateks bagi Mei 2026 tidak diaktifkan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 

Lembaga itu berkata ini berikutan harga peringkat ladang bagi getah sekerap kekal melebihi paras pengaktifan insentif.

“Sehubungan itu, tiada bayaran IPG akan dibuat bagi Mei 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harga peringkat ladang bagi getah sekerap di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak masing-masing berada pada paras RM3.75, RM3.40 dan RM3.25 sekilogram bulan ini.

Menurutnya, apabila diaktifkan, IPG akan dibayar kepada semua pekebun kecil getah Malaysia yang layak.

Lembaga itu turut menjelaskan bahawa IPG bagi lateks akan diaktifkan serentak dengan IPG bagi getah sekerap, dengan kadar insentif ditetapkan pada 90 sen sekilogram bagi lateks yang mempunyai kandungan getah kering 100 peratus.