Tenaga Boleh Diperbaharui Jadi Agenda Utama Keselamatan Kemboja Susulan Konflik Di Asia Barat

PHNOM PENH, 31 Mei — Kemboja sedang membentuk semula strategi keselamatan tenaga jangka panjangnya dengan mempercepat peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui bagi mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api fosil yang mahal ketika konflik di Asia Barat terus mendorong kenaikan harga bahan api, meningkatkan inflasi akibat kos bahan api serta menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Sumber tenaga boleh diperbaharui kini merangkumi 63 peratus daripada campuran penjanaan tenaga elektrik Kemboja, dengan kerajaan menyasarkan tenaga boleh diperbaharui menyumbang 70 peratus daripada campuran penjanaan tenaga elektrik negara menjelang 2030.

Dalam konteks itu, pegawai kanan tenaga dan penggubal undang-undang bermesyuarat pada Khamis lepas bagi merangka hala tuju baharu sektor tenaga negara itu, yang bergantung kepada import untuk memenuhi 90 peratus keperluan bahan apinya.

Sehari sebelum itu, Perdana Menteri Hun Manet berkata negara itu menanggung kerugian kira-kira US$80 juta (RM318 juta) bagi menstabilkan harga elektrik domestik.

“Ketika banyak negara menaikkan tarif elektrik susulan lonjakan harga bahan api, Kemboja mengutamakan kestabilan harga bagi melindungi kuasa beli isi rumah dan menyokong daya tahan ekonomi,” kata Manet, lapor portal berita dalam talian Fresh News.

Kementerian Perdagangan menyatakan harga petrol meningkat 40 peratus manakala diesel melonjak 41.5 peratus sejak konflik di Asia Barat meletus.

Kadar pertumbuhan ekonomi Kemboja diunjurkan perlahan kepada 4.2 peratus tahun ini berbanding sasaran awal lima peratus, sebahagian besarnya disebabkan peningkatan kos bahan api.

Inflasi pada April meningkat dengan ketara kepada 5.8 peratus susulan kenaikan kos bahan api dan pengangkutan, selain lonjakan harga makanan dan minuman.

Bekalan elektrik yang stabil dan mampan amat penting bagi menyokong ekonomi Kemboja yang dipacu eksport — khususnya sektor pakaian, kasut dan produk perjalanan — selain industri kecil dan sederhana.

Kemboja merupakan pengeksport pakaian dan kasut kelapan terbesar dunia.

Menurut Kementerian Perlombongan dan Tenaga, jumlah kapasiti penjanaan elektrik terpasang negara itu tahun lepas meningkat kepada 5,932 megawatt (MW) berbanding 5,183 MW pada tahun sebelumnya.

Campuran tenaga boleh diperbaharui negara itu merangkumi hidrokuasa (34.25 peratus), solar (28 peratus) dan biojisim (0.92 peratus), yang membentuk sebahagian besar pengeluaran tenaga hijaunya.

Kemboja meluluskan projek bernilai US$200 juta (RM794 juta) pada Februari tahun ini bagi membina loji kuasa angin berkapasiti 150 MW di wilayah Mondulkiri di timur laut negara itu.

Kemajuan ketara dicapai dalam memperkukuh sektor tenaganya bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat menerusi pelaburan besar dalam infrastruktur berkaitan tenaga untuk menyediakan bekalan elektrik yang stabil kepada kediaman di kawasan bandar dan luar bandar.

Kadar elektrifikasi nasional kini mencecah hampir 96 peratus.

Kerajaan pimpinan Hun Manet turut merancang untuk mengubah Kemboja daripada hab pembuatan kos rendah kepada pusat pengeluaran hijau utama di ASEAN bagi menarik lebih banyak pelaburan ke negara itu.

Strategi Jangka Panjang bagi Keneutralan Karbon negara itu menyasarkan pelepasan sifar bersih menjelang 2050 menerusi sektor tenaga, pengangkutan, pertanian, perhutanan dan pengurusan sisa.