DAP Johor Hormati keputusan Marina Ibrahim Berundur Daripada Politik – Teo

JOHOR BAHRU, 31 Mei — DAP Johor menghormati keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai Marina Ibrahim untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang serta berundur daripada arena politik.

Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching berkata pihaknya menghargai jasa dan komitmen Marina sepanjang bersama parti itu, selain menyifatkan beliau seorang pemimpin yang berdedikasi, komited dan sentiasa menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan tanggungjawab sejak menyertai DAP pada 2017.

Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata sumbangan Marina bermula di Kulai sebagai ahli Cawangan DAP Indahpura sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) pada 2018 dan seterusnya dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Skudai pada PRN Johor, Mac 2022.

“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang berdedikasi dan bekerja keras, termasuk di kawasan yang bukan kubu tradisi DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Teo berkata keputusan mencalonkan Marina di Skudai sebelum ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang parti untuk membina rekod perkhidmatan dan reputasinya sebagai wakil rakyat sebelum diberi tanggungjawab membantu memperluas pengaruh DAP ke kawasan yang bukan kubu tradisi parti.

Teo berkata Pakatan Harapan (PH) Johor telah memulakan rundingan pembahagian kerusi dan walaupun perkara itu masih berlangsung, terdapat kemungkinan besar DAP akan bertanding di sebuah kerusi bandar yang pernah dimenangi gabungan berkenaan pada 2018.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata kepimpinan parti berpandangan Marina merupakan calon paling berpotensi untuk menggalas misi strategik DAP melangkah keluar dari kawasan tradisi parti dan perkara tersebut telah dijelaskan secara terperinci kepada beliau dalam perbincangan sebelum ini.

“Sekiranya sebarang perbincangan berkaitan strategi PRN Johor telah menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati beliau dalam apa cara sekalipun, saya ingin merakamkan rasa kesal secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata menjadi tanggungjawabnya sebagai pengerusi negeri untuk merangka strategi terbaik bagi menghadapi PRN akan datang.

Pada masa sama, Teo mendoakan kejayaan Marina dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini serta berharap hubungan baik dan kerjasama dapat diteruskan pada masa hadapan demi kepentingan masyarakat dan negara.

Terdahulu, Marina menerusi hantaran di laman Facebook mengumumkan pengundurannya daripada arena politik dan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Skudai pada PRN Johor akan datang selepas berbincang dengan individu terdekat termasuk penyokongnya.

Pada PRN Johor 2022, Marina memenangi kerusi Skudai dengan memperoleh 26,359 undi, menewaskan calon Barisan Nasional Lim Soon Hai (12,416 undi) dan calon Perikatan Nasional Khoo Keng Ek (6,258 undi).