ISTANBUL, 7 Okt — Selepas tiga tahun genosid Israel di Semenanjung Gaza, data Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kesan besar terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, daripada kematian, kecederaan dan kehilangan kepada peningkatan kadar keguguran, kelahiran tidak selamat serta kekurangan zat makanan, lapor Anadolu Ajansi.
Kejatuhan sistem kesihatan Gaza turut menyebabkan wanita hamil tidak mendapat rawatan perubatan, memaksa sebahagian daripada mereka bersalin di rumah atau di pusat perlindungan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal manakala perubahan struktur keluarga menyebabkan puluhan ribu wanita terpaksa memikul tanggungjawab menyara keluarga.
Data yang dikeluarkan Biro Perangkaan Pusat Palestin pada 18 Julai 2026 menunjukkan 12,400 wanita, tidak termasuk kanak-kanak perempuan, terbunuh di Gaza sejak 7 Okt 2023.
Biro itu turut berkata wanita dan kanak-kanak membentuk 4,700 daripada 11,200 orang yang dilaporkan hilang, dengan nasib ramai daripada mereka masih tidak diketahui susulan kebimbangan bahawa sebahagian daripada mereka masih berada di bawah runtuhan bangunan yang musnah.
Wanita PBB dalam laporan bertajuk “The Cost of War on Women and Girls” yang diterbitkan pada April 2026, menganggarkan lebih 38,000 wanita dan kanak-kanak perempuan terkorban antara Oktober 2023 dan Disember 2025 iaitu purata hampir 47 orang sehari.
Laporan itu turut menyatakan terdapat hampir 11,000 wanita dan kanak-kanak perempuan yang mengalami kecederaan kekal.
Mangsa yang terselamat terus berdepan risiko setiap hari akibat pengeboman, kebuluran, perpindahan berulang kali serta sekatan terhadap akses kepada perkhidmatan asas, menurut laporan itu.
Menurut laporan berkenaan, lebih 71,200 rakyat Palestin maut dalam tempoh kajian, dengan wanita, kanak-kanak dan warga emas secara keseluruhannya mewakili lebih separuh daripada jumlah korban.
Laporan itu memberi amaran bahawa angka berkenaan berkemungkinan lebih rendah daripada jumlah kematian sebenar “berikutan keruntuhan sistem maklumat dan pelaporan kesihatan”.
Peratusan tertinggi kematian dalam kalangan wanita dan kanak-kanak dicatatkan dalam tempoh enam bulan pertama perang, dan mereka mencatatkan hampir dua pertiga daripada jumlah kematian yang didokumenkan.
Laporan itu berkata walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, wanita dan kanak-kanak perempuan terus terkorban dan cedera manakala keadaan kemanusiaan serta kesihatan yang mengancam nyawa mereka tidak menunjukkan penambahbaikan ketara.
Sejak bulan-bulan awal genosid, organisasi hak asasi manusia dan kesihatan mendokumentasikan kemerosotan ketara kesihatan reproduktif wanita susulan serangan terhadap kemudahan perubatan, kekurangan akses kepada penjagaan kesihatan, perpindahan berulang kali dan kekurangan zat makanan.
Pada Julai 2024, Persekutuan Keibubapaan Terancang Antarabangsa (IPPF) berkata kadar keguguran di Gaza meningkat sekurang-kurangnya 300 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama perang.
Physicians for Human Rights berkata dalam laporannya pada Januari 2026, “Destroying Hope for the Future: Reproductive Violence in Gaza”, mendokumentasikan 2,600 kes keguguran dalam tempoh enam bulan pertama 2025.
Laporan itu turut mendokumentasikan 220 kematian berkaitan kehamilan dan 1,460 kelahiran pramatang manakala lebih 2,500 bayi baru lahir memerlukan rawatan rapi.
Data terdahulu Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan 57.1 peratus wanita hamil yang berdaftar pada 2025 mengalami anemia.
Laporan hak asasi manusia menyatakan wanita hamil di Gaza semakin sukar mendapatkan penjagaan pranatal dan rawatan ketika bersalin susulan kemerosotan sistem kesihatan.
Wanita PBB berkata Gaza merekodkan kira-kira 130 kelahiran sehari setakat Mac 2025, dengan lebih satu perempat daripadanya melalui pembedahan caesarean, sekali gus menambah tekanan terhadap sistem kesihatan yang sedia lemah.
Kejatuhan perkhidmatan kesihatan memaksa ramai wanita bersalin di rumah dan lokasi perpindahan, jauh daripada rawatan perubatan kecemasan, menurut laporan itu.
Walaupun selepas gencatan senjata, kira-kira 15 kelahiran seminggu masih berlaku di luar hospital, sering kali tanpa bantuan bidan terlatih dan dalam keadaan tidak selamat.
Kelaparan dan kekurangan zat makanan turut meningkatkan risiko terhadap wanita hamil dan bayi baru lahir, termasuk berat lahir rendah, kelahiran pramatang, lahir mati dan kematian bersalin.
Menjelang Julai 2025, 40 peratus wanita hamil dan menyusukan anak di Gaza mengalami kekurangan zat makanan manakala kira-kira setengah juta wanita dan kanak-kanak perempuan berdepan risiko kebuluran, menurut Wanita PBB.
Laporan itu menganggarkan 37,000 wanita hamil dan menyusukan anak, bersama 50,000 kanak-kanak perempuan, memerlukan rawatan bagi kekurangan zat makanan akut dalam tempoh setahun selepas gencatan senjata.
Dalam satu lagi laporan yang dikeluarkan pada 19 Jun 2026, Wanita PBB berkata satu juta wanita dan kanak-kanak perempuan di Gaza tidak mempunyai akses kepada air bersih, 690,000 tinggal di pusat perlindungan yang sesak dan 328,000 kanak-kanak perempuan tidak bersekolah.
Angka terbaharu Kementerian Kesihatan Gaza menunjukkan risiko yang dihadapi wanita hamil berterusan walaupun selepas gencatan senjata.
Kementerian itu merekodkan kira-kira 3,958 kes keguguran antara Januari hingga Jun 2026.
Infografik yang diterbitkan kementerian pada 20 Julai menunjukkan kadar keguguran mencecah 208.5 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup dalam tempoh enam bulan pertama 2026, berbanding 64 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada separuh kedua 2025 iaitu kira-kira 3.3 kali ganda kadar sebelumnya.
April mencatatkan kadar keguguran bulanan tertinggi iaitu 377.25 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup, manakala Jun mencatatkan jumlah keguguran tertinggi dengan 790 kes.
Data menunjukkan 73.6 peratus keguguran berlaku pada trimester pertama, sebelum kandungan mencapai 13 minggu manakala 26.4 peratus berlaku pada trimester kedua, antara 13 hingga 24 minggu.
Perang itu turut mengubah struktur ribuan keluarga di Gaza, menyebabkan lebih ramai wanita terpaksa mengambil tanggungjawab menyara keluarga susulan kematian, kecederaan atau kehilangan suami serta kehilangan sumber pendapatan.
Menurut Wanita PBB, peratusan isi rumah Palestin di Gaza yang diketuai wanita meningkat daripada sembilan peratus sebelum perang kepada 14 peratus.
Laporan itu berkata sebanyak 58,600 isi rumah kini diketuai wanita akibat perang.
Perubahan itu menyebabkan beban ekonomi dan sosial jangka panjang terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, selain tanggungjawab menjaga keluarga serta keperluan perlindungan akibat perpindahan, kemiskinan dan kehilangan anggota keluarga.
Israel terus melanggar gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, dengan 1,460 rakyat Palestin terkorban dan 5,116 cedera dalam serangan sehingga Isnin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sejak genosid bermula pada Oktober 2023, lebih 74,000 rakyat Palestin terkorban dan lebih 175,000 cedera manakala kira-kira 90 peratus infrastruktur Gaza rosak atau musnah.













Tinggalkan Balasan