ISTANBUL, 18 Nov — Menteri Kehakiman Perancis Gerald Darmanin pada Selasa berkata seramai 7,184 individu ditahan polis dan 466 hukuman penjara dijatuhkan berhubung demonstrasi membantah peningkatan kos sara hidup sejak 17 Okt, lapor Anadolu Ajansi.
“Setakat ini, seramai 7,184 individu telah ditahan polis,” katanya sambil menambah bahawa kes berkenaan membawa kepada 3,053 pendakwaan dan 1,217 tindakan alternatif.
Darmanin berkata daripada jumlah individu yang ditahan, 4,523 ialah orang dewasa manakala 2,661 lagi individu bawah umur.
Daripada jumlah pendakwaan itu, seramai 2,301 individu dihadapkan ke mahkamah, katanya sambil menjelaskan bahawa kira-kira 70 peratus prosiding undang-undang berkenaan melibatkan individu yang dibawa segera ke hadapan majistret.
Darmanin berkata sebanyak 466 hukuman penjara dijatuhkan, termasuk 195 hukuman penjara tanpa syarat dan 111 hukuman yang disertakan perintah penahanan serta-merta.
Beliau turut memaklumkan bahawa 209 orang dewasa dan lima individu bawah umur telah ditahan sementara menunggu perbicaraan.
“Setakat 16 Nov, seramai 356 individu telah kehilangan kebebasan mereka,” katanya sambil menjelaskan bahawa 186 individu dipenjarakan manakala selebihnya masih dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan.
Darmanin berkata sebahagian besar angka berkenaan tertumpu pada hari pertama demonstrasi.
“Dua pertiga daripada angka ini melibatkan 17 Okt sahaja,” katanya.
Demonstrasi itu merupakan sebahagian daripada gerakan lebih luas bagi membantah peningkatan kos sara hidup dan pengurangan perkhidmatan awam.
Protes pada 17 Okt menghimpunkan pelbagai kumpulan, termasuk aktivis Ves Kuning, pelajar dan kesatuan sekerja.












Tinggalkan Balasan