KOTA KINABALU, 1 Jun — Sebanyak 300 individu termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama kumpulan ajaran sesat, ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Likas, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman dalam satu kenyataan berkata operasi itu, dijalankan susulan aduan awam yang diterima JHEAINS pada 28 Mei, berhubung penganjuran Program Jalsa Salana Wilayah Sabah ke-32, yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei.
Beliau berkata hasil semakan mendapati program itu, dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan pada 2007.
“Program itu turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) dan ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah.
“Turut dirampas 24 helai banting yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi Jemaah Ahmadiyah Qadiani dan kira-kira 200 buku serta bahan bacaan berkaitan ajaran tersebut,” menurut kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.
Syed Lot berkata semua individu yang ditahan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS, sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf, selain merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan ajaran atau fahaman agama yang diajar dan disebarkan.
Tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam.

















Tinggalkan Balasan