Jemaah Menteri Zahir Ucapan Tahniah Sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Agong

KUALA LUMPUR, 1 Jun — Barisan Jemaah Menteri hari ini merafak sembah dan menzahirkan ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di laman Facebook merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah bagi pihak warga kementerian serta Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.

“Sembah Takzim daripada patik serta seluruh warga Kementerian Komunikasi dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pula mendoakan agar Seri Paduka Baginda dilimpahi rahmat untuk terus memayungi rakyat dengan segala kemuliaan, kebijaksanaan dan keprihatinan demi kesejahteraan negara.

“Patik bersama seluruh rakyat jelata juga mendoakan agar Allah SWT melanjutkan usia Seri Paduka Tuanku dan Raja Permaisuri Agong dalam keberkatan, dikurniakan dengan keafiatan dan kesejahteraan yang berpanjangan serta sentiasa berada dalam lindungan dan peliharaan-Nya,” katanya juga menerusi hantaran di laman Facebook.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menerusi hantaran di Facebook mendoakan agar kepimpinan, kebijaksanaan dan keprihatinan Seri Paduka Baginda menjadi payung naungan yang menyatukan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya dalam semangat perpaduan serta keharmonian negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut merafakkan doa ke hadrat Allah SWT semoga Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Diraja Johor dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya, terus diberi keafiatan dan sentiasa dilimpahi kedaulatan yang penuh.

Turut menzahirkan ucapan ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mendoakan Seri Paduka Baginda dan seluruh Kerabat Diraja dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, dipanjangkan usia dalam keberkatan, serta terus memayungi negara dan rakyat dengan kebijaksanaan dan kasih sayang.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan juga merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah dan junjungan kasih kepada Seri Paduka Baginda sempena hari bersejarah itu.