Dialog Strategik China-Britain Ke-11 Berlangsung di Beijing

Menteri Luar China, Wang Yi telah mengadakan Dialog Strategik China-Britain Ke-11 bersama Setiausaha Luar negara itu, Yvette Cooper di sini Selasa.

Wang berkata, China konsisten dalam mendorong pembangunan berkualiti tinggi dan peningkatan tahap keterbukaan. Garis panduan yang terkandung dalam Rancangan Lima Tahun Ke-15 Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan China (2026-2030) bukan sahaja berkaitan dengan pembangunan domestik, tetapi juga membuka peluang kepada dunia, dan dilihat mempunyai keserasian yang tinggi dengan Strategi Perindustrian Moden Britain. 

“Kedua-dua pihak boleh merebut peluang yang sedia ada yang kondusif bagi pencapaian masing-masing.

“Pihak Britain diharap menyediakan layanan perniagaan yang adil, saksama dan tanpa diskriminasi kepada perusahaan pelaburan China, serta memberi pentakrifan yang munasabah dan jelas tentang kerelevanan ‘keamanan wilayah’ dalam persekitaran perdagangan,” ujar Wang.

“Masyarakat antarabangsa sedang mengalami pergolakan dan transformasi paling mendalam sejak berakhirnya Perang Dingin. China dan Britain perlu menempuh jalan yang betul dan menjunjung keadilan, mempertahankan hasil kemenangan Perang Dunia Kedua, mematuhi Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berpegang kepada amalan multilateralisme sebenar, dan bersama-sama mendorong pembinaan sistem tadbir urus global yang lebih adil dan munasabah,” tambah beliau.

Sementara itu, Yvette Cooper pula menyatakan bahawa Britain bersedia bekerjasama dengan China untuk mengeratkan pertukaran peringkat tinggi, menambah dialog di bawah mekanisme, serta memperincikan pelaksanaan projek kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan, kewangan, sumber tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan iklim. 

Selain itu, Yvette Cooper berkata bahawa dasar Britain terhadap hal Taiwan yang dilaksanakan sejak penjalinan hubungan diplomatik dengan China tidak berubah, dan tidak akan berubah.

Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu lain seperti Iran dan Ukraine.