Sultan Ibrahim Berkenan Santap Pagi Di Muar

JOHOR BAHRU, 3 Jun — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama masyarakat sambil menikmati santapan pagi di R&H Cafe Satay Maharani, Muar.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda terlebih dahulu berkenan memandu sendiri dari Kuala Lumpur melalui Tangkak, sebelum meneruskan perjalanan ke bandar Muar.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda disambut oleh Pegawai Daerah Muar Zainal Eran, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar Norrizam Muhamad serta Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz.

Kunjungan berkenaan mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda yang sentiasa dekat dengan masyarakat.