PLUS Jangka 2.2 Juta Kenderaan Sehari Guna Lebuh Raya Bermula Esok Hingga Ahad

KUALA LUMPUR, 3 Jun — PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan hampir 2.2 juta kenderaan sehari akan menggunakan rangkaian lebuh rayanya dalam tempoh sepanjang pergerakan pulang ke ibu kota selepas berakhirnya cuti perayaan berganda bermula esok hingga Ahad ini.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan peningkatan itu melibatkan kombinasi pergerakan trafik jarak jauh serta perjalanan antara bandar-bandar utama menuju ke Lembah Klang selepas tamat tempoh cuti Aidiladha dan perayaan berganda serta cuti persekolahan.

“Pengguna dinasihatkan supaya mengikuti jadual MyPLUS-TTA yang boleh diakses menerusi aplikasi PLUS dan merancang waktu perjalanan pulang mengikut waktu yang dicadangkan. Langkah ini penting bagi membantu mengimbangi aliran trafik serta mengurangkan kesesakan di lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya,” menurut kenyataan itu.

Bagi menguruskan lonjakan kenderaan, PLUS turut mengaktifkan laluan Smart Lane di 33 lokasi tumpuan di sepanjang lebuh raya selain memastikan kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah seperti gerai makanan dan minuman beroperasi 24 jam.

Orang ramai boleh menghubungi PLUSLine menerusi talian 1800-88-0000 atau LPT2Line 1800-88-0220 sekiranya memerlukan bantuan kecemasan.