KUALA LUMPUR, 3 Jun — Kerjasama strategik antara agensi kerajaan, syarikat utiliti, pemaju dan institusi kewangan adalah penting untuk membuka peluang baharu serta mempercepat peralihan tenaga pada skala besar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata langkah itu sekali gus menekankan kepentingan tindakan kolektif untuk memajukan agenda kemampanan negara.
Menurutnya kejayaan penganjuran edisi kedua Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah pencapaian yang wajar dipuji memandangkan persidangan itu telah berkembang menjadi platform berwibawa yang menghimpunkan pemikir terkemuka dari seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea dan memacu kemajuan dalam sektor tenaga.
“Persidangan itu juga mencerminkan komitmen kukuh Malaysia untuk mempercepat peralihan tenaga, menandakan peralihan yang jelas, daripada matlamat kepada pelaksanaan ketika negara mempertingkat usaha ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan,” katanya semasa berucap pada ETCon26 di sini hari ini.
ETCon pertama dianjurkan pada 2023 bersempena Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Fadillah berkata setiap fasa penting dalam pembangunan Malaysia daripada program bekalan elektrik luar bandar dan perindustrian sehingga kepada transformasi digital, dapat direalisasikan berikutan negara memilih untuk melabur bukan sahaja dalam infrastruktur, malah dalam pembangunan insan, institusi dan matlamat bersama.
Beliau berkata peralihan tenaga perlu didekati dengan semangat yang sama.
“Ini bukan sekadar perubahan teknologi dan pada asasnya mengenai kesejahteraan dan kemakmuran rakyat kita,” katanya.
Sehubungan itu, Fadillah menekankan bahawa bagi Malaysia dan ASEAN, peralihan tenaga bukan sahaja merupakan keperluan alam sekitar, malah adalah keperluan ekonomi dan keutamaan strategik.
“Pilihan yang kita buat hari ini akan menentukan daya saing industri kita dan kesejahteraan rakyat untuk ribuan tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata Malaysia melalui TNB bersedia untuk melabur sebanyak RM43 bilion atau US$10.8 bilion bermula 2025 hingga 2027 untuk menaik taraf dan memperkukuh sistem grid, termasuk mengintegrasikan elemen kecerdasan buatan (AI), sebagai antara usaha untuk mempercepat inisiatif tenaga boleh baharu dan meningkatkan aspirasi peralihan tenaga negara.
Grid Tenaga ASEAN penting untuk penuhi peningkatan permintaan elektrik
Di seluruh Asia Tenggara, beliau berkata permintaan elektrik diunjurkan meningkat kira-kira empat hingga lima peratus setiap tahun dalam tempoh sedekad akan datang, didorong oleh perindustrian dan pembandaran.
Permintaan itu juga berpunca daripada sumber baharu seperti infrastruktur digital, kenderaan elektrik, keperluan penyejukan dan pusat data AI.
“Dalam hal ini, inisiatif Grid Tenaga ASEAN menjadi bukti kukuh bagaimana negara anggota ASEAN boleh bekerjasama secara kolektif untuk memajukan perdagangan elektrik rentas sempadan, memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan menyokong masa depan tenaga yang lebih berdaya tahan di rantau ini,” katanya.
Fadillah turut menekankan bahawa di Malaysia, kerajaan terus menyatakan kepada pelabur dengan jelas mengenai keperluan bagi kebolehlihatan jangka panjang melalui instrumen seperti NETR.

















Tinggalkan Balasan