KUALA LUMPUR, 3 Jun — Saham Petronas Dagangan Bhd (PetDag) muncul antara dua kaunter untung utama dalam dagangan awal hari ini walaupun melaporkan keuntungan bersih yang lebih rendah bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.
Pada 11 pagi, harga saham PetDag meningkat 80 sen kepada RM18.54, dengan 866,700 saham bertukar tangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, PetDag melaporkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM283 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026 berbanding RM293.50 juta pada suku sama setahun lepas berikutan kos dan perbelanjaan produk lebih tinggi yang mengurangkan sumbangan segmen komersial.
Menurut PetDag, keuntungan lebih rendah itu sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan kasar lebih tinggi daripada segmen runcit berikutan pergerakan menaik dalam harga Mean of Platts Singapore (MOPS).
Perolehan meningkat kepada RM11.15 bilion semasa suku dalam tinjauan daripada RM9.09 bilion pada suku sama sebelumnya, disokong oleh harga jualan purata yang tinggi dan jumlah jualan lebih kukuh.
Dalam nota penyelidikan hari ini, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) memaklumkan kekal positif terhadap prospek keseluruhan PetDag walaupun berdepan tekanan jangka pendek dalam segmen komersial berikutan jumlah jualan yang rendah serta kelewatan sementara dalam pemindahan kos inventori bahan api jet yang meningkat.
“Sementara itu, jumlah jualan runcit dijangka kekal stabil, disokong oleh permintaan mobiliti domestik yang berdaya tahan dan trend penggunaan bahan api yang berterusan.
“Selain itu, Petronas telah memberi jaminan bahawa bekalan bahan api mencukupi sehingga akhir Julai sekali gus mengurangkan kebimbangan mengenai potensi gangguan bekalan dan menyokong kestabilan operasi jangka pendek,” menurutnya.
HLIB memaklumkan telah menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2026/tahun kewangan 2027 ke atas PetDag sebanyak +0.4 peratus/+0.5 peratus selain mengumumkan anggaran tahun kewangan 2028.
HLIB turut meningkatkan penarafan PetDag kepada ‘beli’ dengan harga sasaran yang disemak naik kepada RM21.34 daripada RM21.33.

















Tinggalkan Balasan