SHAH ALAM, 5 Jun — Selangor Smart Agro Park (SSAP) merekodkan jualan berjumlah RM483,082 dengan pengeluaran hasil tuaian sebanyak 154.90 tan metrik setakat ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Beliau berkata Bernam Smart Agro menjadi penyumbang utama kepada jumlah jualan itu dengan nilai terkumpul RM392,482 dan antaranya menerusi pengeluaran nanas MD2.
“Selain itu, komoditi utama lain yang turut diusahakan secara komersial merangkumi Nanas Yankee, Betik B9 dan Kelapa Hibrid.
“Tanaman kontan seperti labu, bendi, terung dan pisang turut ditanam bagi mengoptimumkan penggunaan tanah serta menjana pendapatan jangka pendek sementara menunggu tanaman utama mencapai tempoh matang,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan lawatan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah ke Projek Melon PKPS di SSAP, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, semalam.
Ia bersempena dengan Program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Sabak Bernam 2026.
Turut berangkat isteri baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Mohamad Khairil berkata daripada keluasan keseluruhan SSAP seluas 48 hektar, sebanyak 42.2 hektar telah dibangunkan yang bersamaan dengan kadar penggunaan tanah sebanyak 88 peratus.
Katanya selain meningkatkan pengeluaran hasil pertanian bernilai tinggi, SSAP turut menjadi platform pembangunan agropreneur menerusi pelbagai projek komersial dan program pembangunan komuniti yang melibatkan golongan belia, B40, asnaf dan miskin tegar.
Beliau berkata usaha itu dilaksanakan menerusi Program Inisiatif Pendapatan Rakyat–Usahawan Tani (IPRINTAN) Melosel yang berpusat di Parit Baru dan Kampung Tebuk Berihun, Sabak Bernam.
Katanya program berkenaan menggunakan teknologi fertigasi menerusi 15 unit Rumah Pelindung Hujan (RPH) bagi pengeluaran Melon Selangor (Melosel) dengan penyertaan 15 peserta, masing-masing mengusahakan satu unit RPH.
“Setiap peserta menguruskan 2,000 pokok melon, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 30,000 pokok.
“Berdasarkan pusingan pertama pengeluaran dari 4 Nov 2024 hingga 25 Jan 2025, peserta di Kampung Tebuk Berihun merekodkan purata pendapatan bersih RM4,583 seorang manakala harga ladang bagi Melon Gred A mencapai RM8 sekilogram,” katanya.
Beliau berkata SSAP merancang untuk menjadikan Selangor sebagai hab pengeluaran benih betik berkualiti tinggi menerusi kerjasama strategik dengan Green World Genetics Sdn Bhd bagi tempoh 2026 hingga 2027.
Katanya bagi tempoh 2029 hingga 2031, kawasan baharu seluas 20 hektar akan dibangunkan bagi pengeluaran benih kelapa hibrid secara komersial selain pengeluaran sulur nanas varieti MD2 dan SG1 menerusi anak syarikat PKPS, Kohijrah.

















Tinggalkan Balasan