Ringgit Rendah Berbanding Dolar AS, Meningkat Berbanding Mata Wang Utama

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Jumaat, tetapi mengukuh berbanding mata wang utama lain dalam keadaan pasaran pertukaran asing berhati-hati berikutan pihak berkuasa di Asia mengeluarkan kenyataan menyatakan komitmen mereka untuk menstabilkan mata wang masing-masing.

Ini didorong dolar AS dijangka kekal mengukuh dengan laporan senarai pekerjaan bukan perladangan (NFP) Amerika Syarikat (AS) dijadualkan diumumkan hari ini.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan menurun kepada 4.0120/0160 berbanding dolar AS daripada 4.0095/0140 semasa ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata anggaran konsensus menjangka NFP AS dicatatkan sebanyak 85,000 pekerjaan pada Mei berbanding 115,000 pekerjaan pada April manakala kadar pengangguran AS dijangka kekal stabil pada 4.3 peratus.

“Ini akan menjadi faktor penentu berikutan harga bahan api yang tinggi boleh menyebabkan inflasi meningkat manakala keadaan pasaran tenaga kerja yang stabil berpotensi mendorong Rizab Persekutuan AS mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat,” katanya.

Beliau berkata mata wang dolar AS-yen Jepun telah melepasi paras psikologi 160 yen, mendorong kerajaan Jepun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bersedia untuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing.

“India sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan cukai keuntungan modal ke atas bon bagi menarik pelabur asing. Oleh itu, pasaran mata wang dijangka kekal berhati-hati dan ringgit juga tidak terkecuali.

“Ini terutamanya apabila perkembangan politik, seperti pilihan raya negeri, mula menjadi tumpuan,” katanya.

Pada peringkat domestik, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama. 

Ringgit meningkat berbanding pound kepada 5.3845/3899 daripada 5.3872/3932 semasa ditutup pada Khamis, naik berbanding euro kepada 4.6587/6634 daripada 4.6610/6663 semalam dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.5075/5102 daripada 2.5081/5111 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang serantau.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1224/1258 daripada 3.1241/1279 semasa ditutup pada Khamis, bagaimanapun rendah berbanding baht Thailand kepada 12.2710/2881 daripada 12.2708/2903 dan menurun berbanding peso Filipina kepada 6.51/6.52 daripada 6.50/6.52 sebelum ini.

Ringgit turut rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 222.2/222.6 daripada 222.1/222.4 semalam.