KUALA LUMPUR, 5 Jun — Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada Khamis mengumumkan rombakan Kabinet dengan mewujudkan beberapa portfolio penting baharu serta melantik dua anakanda baginda sebagai menteri, dalam langkah yang dilihat sebagai petanda kemungkinan perancangan peralihan kepimpinan di negara pengeluar minyak itu.
Rombakan itu merupakan yang pertama sejak 2022 dan dibuat ketika Brunei berdepan tekanan susulan krisis tenaga global yang tercetus akibat perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
Pengumuman itu juga dibuat setahun sebelum Sultan Hassanal menyambut Jubli Intan pemerintahan baginda. Sultan Hassanal yang menaiki takhta pada 1967 merupakan pemerintah paling lama memerintah di dunia ketika ini.
Baginda yang berusia 79 tahun dan memegang beberapa portfolio utama kerajaan, membuat kemunculan awam terhad tahun ini selepas menjalani pembedahan di lutut pada Januari.
Dalam siaran televisyen, Sultan Hassanal bertitah baginda akan terus memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan.
Putera kedua baginda, Pengiran Muda Abdul Malik dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang merupakan jawatan Kabinet pertamanya.
Sementara itu, putera ketiga baginda, Pengiran Muda Abdul Mateen dilantik sebagai Menteri Luar. Jawatan itu sebelum ini disandang oleh Sultan Hassanal sendiri.
Putera Mahkota Al-Muhtadee Billah pula mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Sultan Hassanal turut mengumumkan kewujudan tiga jawatan menteri baharu bagi memperkukuh penyelarasan dasar di seluruh jentera kerajaan.
Baginda juga bertitah Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan akan disusun semula menjadi Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
“Ini bertujuan mempercepat pembangunan sektor keutamaan, memperkukuh usaha kepelbagaian ekonomi, menyokong pertumbuhan ekonomi mampan serta mewujudkan peluang pekerjaan yang bermakna,” titah baginda.
Rombakan itu turut menyaksikan pelantikan wanita paling ramai dalam sejarah Kabinet Brunei setakat ini, termasuk Menteri Pendidikan dan tiga Timbalan Menteri.
Brunei merupakan antara negara yang memperoleh manfaat daripada konflik di Iran, dengan eksport minyak mentah, produk petroleum ditapis dan gas meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Namun, negara itu turut berdepan peningkatan kos subsidi untuk mengekalkan harga bahan api antara yang terendah di rantau ini.
Bulan lepas, Brunei mula melarang kenderaan dengan nombor pendaftaran asing yang mempunyai paras bahan api kurang tiga perempat tangki daripada memasuki negara itu, dalam usaha mengekang penyeludupan rentas sempadan dan memelihara bekalan domestik.
Pada Rabu, Jabatan Tenaga Brunei memaklumkan kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau dan menyelaras langkah-langkah untuk menangani kesan konflik di Asia Barat.













Tinggalkan Balasan