KUALA LUMPUR, 11 Jun — Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam ekosistem tadbir urus perburuhan global melalui penyertaan di Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) sesi ke-114 di Geneva, Switzerland baru-baru ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R.Ramanan berkata di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, Malaysia kekal komited memperteguh kerangka, norma dan pendekatan baharu bagi mengurus transformasi dunia pekerjaan yang dipacu kemajuan teknologi, pendigitalan serta ketidaktentuan rantaian bekalan global.
Beliau berkata Malaysia turut memperkukuh kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa utama dalam memperhalusi agenda perlindungan sosial, keselamatan pekerjaan serta pembangunan hubungan industri yang lebih inklusif dan responsif terhadap perubahan pasaran buruh.
“Penyertaan aktif negara turut membuka lembaran baharu dalam pakatan Global Coalition for Social Justice, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, perlindungan pekerja dan pertumbuhan yang lebih inklusif di peringkat global,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Sepanjang persidangan itu, katanya, Malaysia menegaskan bahawa kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan kerangka dasar yang jelas, tersusun dan berkesan bagi mengelakkan ketidakseimbangan baharu terhadap tenaga kerja.
Ramanan berkata delegasi Malaysia terus memperkukuh pendekatan tripartite (tiga pihak) sebagai asas kepada tadbir urus perburuhan yang stabil dan mampan, selain meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kestabilan, kredibiliti dan kejelasan kerangka dasar perburuhan negara.
Melalui platform antarabangsa itu, katanya, Malaysia turut berkongsi pengalaman pelaksanaan inisiatif domestik.
Antara yang dikongsi ialah Akta Pekerja Gig dan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 jam), yang menjadi rujukan dalam perbincangan global berkaitan pengukuhan sistem perlindungan pekerja serta peningkatan standard perburuhan yang lebih progresif dan inklusif.
Beliau berkata Malaysia turut menegaskan keperluan kesiapsiagaan dalam mendepani cabaran global yang semakin kompleks yang memberikan tekanan terhadap pasaran buruh.
“Penekanan diberikan kepada pengukuhan sistem perlindungan sosial, peningkatan kemahiran tenaga kerja serta penyelarasan dasar yang lebih responsif dan adaptif,” katanya.
Secara keseluruhannya, Ramanan berkata penyertaan Malaysia di ILC Ke-114 memperkukuh kedudukan negara sebagai suara yang konstruktif dan berpengaruh dalam membentuk masa depan perburuhan global yang lebih mampan, adil dan progresif dalam mendepani cabaran masa hadapan.

















Tinggalkan Balasan