Pembinaan Kabel Dasar Laut Sarawak-Johor Tunggu Kelulusan Indonesia

KUCHING, 14 Jun — Projek pemasangan kabel dasar laut yang menghubungkan Sarawak dan Johor masih menunggu kelulusan kerajaan Indonesia sebelum kajian dasar laut dapat dijalankan bagi menentukan laluan akhir projek berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini kerana kira-kira 60 hingga 70 peratus laluan kabel itu melalui perairan negara jiran itu.

Justeru, beliau berkata persetujuan negara jiran berkenaan diperlukan sebelum kerja-kerja kajian dapat dilaksanakan.

“Kita masih menunggu kelulusan untuk laluan bagi membuat kajian dasar laut kerana laluan yang dikaji dan dicadangkan akan melalui perairan Indonesia.

“Kita telah menghantar surat kepada pihak berkenaan dan selepas mendapat persetujuan, barulah semua pihak yang terlibat akan menjalankan kajian dasar laut bagi menentukan laluan kabel tersebut,” katanya selepas merasmikan Surau Nurul Muslimin, Kampung Sungai Bedil di Petra Jaya, di sini hari ini. 

Projek kabel dasar laut Sarawak-Johor dicadangkan sebagai antara inisiatif untuk memperkukuh jaringan telekomunikasi dan sambungan Internet berkapasiti tinggi di antara Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia. 

Menyentuh mengenai grid kuasa ASEAN, Fadillah berkata penyelarasan standard dan keperluan teknikal bagi pelaksanaan kini telah digerakkan menerusi ASEAN Centre for Energy (ACE) yang berpangkalan di Jakarta. 

Beliau berkata antara cabaran utama yang dihadapi ialah tahap kesiapsiagaan infrastruktur grid yang berbeza antara negara anggota ASEAN.

“Sesetengah negara masih perlu menaik taraf sistem sedia ada,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).