Menteri Luar China, Wang Yi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Nepal, Shishir Khanal di Beijing pada Isnin.
Dalam pertemuan itu Wang Yi berkata bahawa semasa lawatan Presiden China Xi Jinping ke Nepal pada tahun 2019, kedua-dua pihak telah melonjakkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik berorientasikan pembangunan dan kemakmuran, sekali gus menetapkan hala tuju perkembangan hubungan China-Nepal pada masa depan.
Wang Yi menekankan bahawa China menghargai pendirian teguh Nepal dalam mematuhi prinsip satu China serta sokongan kukuh yang diberikan kepada China dalam isu-isu berkaitan kepentingan teras negara Tembok Besar seperti Taiwan dan Xizang.
Kata Wang Yi, pihak China bersedia bekerjasama dengan Nepal dalam membina Jalur dan Laluan (BRI) berkualiti tinggi, dengan memberi tumpuan kepada kerjasama rangkaian tenaga elektrik, lebuh raya, pintu sempadan, dan penerbangan, bagi membantu transformasi Nepal daripada sebuah negara yang terkurung daratan kepada negara yang lebih terhubung dengan rangkaian serantau dan antarabangsa.
Sementara itu Shishir Khanal menyatakan bahawa persahabatan Nepal-China telah merentasi ribuan tahun dan semakin kukuh.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak China atas sokongan jangka panjang terhadap pembangunan negara dan penambahbaikan taraf hidup rakyat Nepal.
Menurut beliau, pihak Nepal bersedia mempelajari pengalaman pentadbiran negara China, dan akan mengambil bahagian secara aktif dalam pembinaan BRI berkualiti tinggi.
Beliau turut menzahirkan kesediaan pihak Nepal untuk meningkatkan kesalinghubungan dengan China, mempromosikan kerjasama saling menguntungkan dalam pelbagai bidang, memperkukuh koordinasi dan kerjasama pelbagai hala, demi merealisasikan pembangunan dan kemakmuran bersama.













Tinggalkan Balasan