PUTRAJAYA, 27 Jun — Keputusan mewartakan 50 ekar atau 20.23 hektar tanah di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu merupakan langkah penting bagi membela kepentingan bumiputera yang memerlukan keberanian politik serta kebijaksanaan dalam mendapatkan sokongan semua pihak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata kawasan seluas kira-kira 480 ekar (kira-kira 194.24 hektar) di Bandar Malaysia telah diambil alih semula kerajaan selepas projek itu gagal susulan salah guna kuasa pentadbiran terdahulu, sebelum diuruskan di bawah Khazanah Nasional Bhd dan Petroliam Nasional Bhd.
“50 ekar itu sama dengan 5,000 ekar (2023.42 hektar) di Kedah (dari segi nilai). Bukan kecil dari segi nilai dan saya tahu ini (akan menjadi) kontroversi kalau tidak ditangani dengan baik.
“Saya tegaskan, itu satu keputusan dari sudut membela kepentingan bumiputera yang amat besar dan kritikal untuk saya. Ia memerlukan keberanian politik dan kebijaksanaan dalam berurusan dengan semua sektor,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 di sini hari ini.
Perdana Menteri menegaskan keputusan itu tidak melibatkan pengambilan tanah milik mana-mana kaum kerana kawasan berkenaan sememangnya menjadi milik kerajaan.
Beliau berkata kerajaan turut memberi penjelasan kepada pemimpin pelbagai kaum mengenai rasional keputusan itu bagi mengelakkan salah faham dan memastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik.
Pada 27 Jun tahun lepas, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kajian lanjut berkaitan strategi pembangunan 50 ekar tanah rizab Melayu di Bandar Malaysia sedang dijalankan bagi memastikan ia selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan pembangunan Bandar Malaysia sebagai Hab Perniagaan Antarabangsa.
Menurut MOF beberapa prinsip penting diambil kira dalam kawasan seluas 50 ekar tersebut antaranya ialah penempatan berkelompok di sekitar kemudahan penting yang relevan seperti masjid, tersebar dan bersepadu selaras dengan konsep keterangkuman Malaysia MADANI.
Selain itu, ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai tempat tarikan pelancong yang mempamerkan budaya masyarakat Melayu, pemerkasaan ekonomi orang Melayu dengan menyediakan peluang pemilikan hartanah di dalam kawasan bandar.
Projek Bandar Malaysia yang terletak di Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Sungai Besi dijangka memiliki nilai pembangunan kasar sebanyak RM140 bilion.















Tinggalkan Balasan