DOSM Sabah Capai Lebih 60 Peratus Banci Ekonomi 2026

KOTA KINABALU, 28 Jun — Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Sabah telah membanci lebih 60 peratus daripada hampir 90,000 pertubuhan ekonomi yang disasarkan di negeri ini di bawah pelaksanaan Banci Ekonomi (BE) 2026.

DOSM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian itu mencerminkan komitmen tinggi pelbagai pihak dalam memberi kerjasama sepanjang pelaksanaan banci berkenaan serta menunjukkan kemajuan positif ke arah mencapai sasaran liputan pembancian yang ditetapkan.

Bagi meningkatkan kadar kejayaan BE2026, DOSM Sabah menganjurkan Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 bersama-sama Badan Profesional dan Persatuan Perniagaan Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini baru-baru ini. 

Pembantu Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Dr Jonnybone J. Kurum merasmikan sesi itu yang dihadiri wakil badan profesional, persatuan perniagaan, agensi kerajaan dan pihak industri yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri.

BE2026 yang bertemakan “Data Nadi Ekonomi Rakyat” ialah banci ekonomi keenam dilaksanakan DOSM bagi mengumpul maklumat terperinci berkaitan prestasi dan struktur ekonomi negara untuk menyokong perancangan, pelaksanaan serta penilaian dasar pembangunan yang lebih berkesan dan inklusif.

Sementara itu, Jonnybone berkata pelaksanaan BE2026 amat penting dalam menyokong agenda pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“SMJ 2.0 memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi, pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat serta kemampanan alam sekitar. 

“Kejayaan pelaksanaannya memerlukan data yang lengkap, tepat dan terkini bagi menyokong proses perancangan, pelaksanaan serta pemantauan dasar,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menyasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah mencapai RM100 bilion menjelang 2030, sejajar dengan aspirasi untuk mewujudkan ekonomi yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.

Beliau berkata pada 2024, KDNK Sabah bernilai RM84.3 bilion dengan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri, merekodkan nilai tambah RM44.2 bilion, diikuti perlombongan dan pengkuarian (RM18.6 bilion), pertanian (RM12.2 bilion), pembuatan (RM6.1 bilion) dan pembinaan (RM3 bilion).

“Berdasarkan dapatan Banci Ekonomi 2023, sebanyak 68,267 pertubuhan direkodkan beroperasi di Sabah dengan nilai output kasar berjumlah RM182.5 bilion dan nilai ditambah sebanyak RM96.9 bilion.

“Aktiviti ekonomi negeri melibatkan 610,058 pekerja dengan jumlah gaji dan upah RM14.6 bilion manakala nilai harta tetap direkodkan sebanyak RM120.3 bilion.

“Sektor perkhidmatan terus menjadi tulang belakang ekonomi Sabah dengan 62,527 pertubuhan atau mewakili lebih 90 peratus daripada keseluruhan pertubuhan di negeri ini, menyumbang RM47.7 bilion output kasar dan RM26.7 bilion nilai ditambah serta menggaji 306,117 pekerja,” katanya.