Xi Terima Kunjungan Presiden Belarus

China dan Belarus merupakan rakan sejati yang saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain, selain menjadi rakan yang baik dalam usaha mencapai pembangunan serta kemakmuran bersama.

Demikian menurut Presiden China, Xi Jinping ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Belarus, Alexander Lukashenk di Beijing pagi Isnin. 

Dalam pertemuan itu Xi menekankan bahawa China dan Belarus perlu mengekalkan komunikasi strategik bagi memastikan hubungan dua hala berkembang pada tahap yang tinggi demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Xi turut menyeru kedua-dua negara menggerakkan pelbagai sumber yang ada bagi memperkukuh kerjasama di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta memperluaskan kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang.

Tambah beliau, China bersedia berganding bahu dengan Belarus untuk bersama-sama membina komuniti berkongsi nasib sesama insan, mengamalkan empat inisiatif global, meningkatkan koordinasi dan kerjasama dalam mekanisme pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).

Menurut Xi, kedua-dua negara perlu menjadi kuasa yang membawa kestabilan dalam suasana dunia yang semakin tidak menentu.

Sementara itu, Lukashenk menyatakan bahawa Belarus amat mementingkan hubungan dengan China dan berharap dapat mempertingkat komunikasi strategik dengan China, memperluas bidang kerjasama, dan mendorong hubungan kedua-dua negara bagi mencapai kemajuan yang lebih besar. 

Belarus juga bersedia terus menjalin koordinasi rapat dengan China dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa, serta bersama-sama mendorong keamanan, pembangunan dan kestabilan di dunia.