JOHOR BAHRU, 29 Jun — Pakatan Harapan (PH) menyerahkan sepenuhnya keputusan pelantikan jawatan Menteri Besar Johor kepada kebijaksanaan dan prerogatif Sultan Johor sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Calon PH bagi DUN Puteri Wangsa Dr Maszlee Malik berkata setakat ini gabungan berkenaan tidak membincangkan isu jawatan berkenaan kerana fokus utama parti adalah untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat melalui kerja berpasukan.
“Isu menteri besar kita tak bincangkan langsung kerana kita akur bahawa ikut Undang-Undang Tubuh Negeri, prerogatif untuk melantik menteri besar ialah kuasa Istana. Jadi, di penghujungnya Tuanku yang akan tentukan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai desas-desus dalam media sosial, yang mengaitkan nama beliau sebagai antara calon utama Menteri Besar Johor daripada blok PH sekiranya gabungan itu menang pada PRN Johor ke-16.
Maszlee berkata PH tidak bergantung kepada kredibiliti satu-satu tokoh semata-mata, sebaliknya mempertaruhkan barisan calon yang berkualiti untuk kesemua kerusi yang ditandingi demi kesejahteraan masyarakat.
“Bagi kami, kita akan cuba beri yang terbaik, hatta kita rangkakan pendekatan untuk yang terbaik, servis yang terbaik, jadi kita tak bergantung kepada satu tokoh semata-mata. Kita kemukakan satu kumpulan, kalau kita kata 56, 56 itulah ‘Avengers’ (adiwira) kita,” katanya.
Hari mengundi PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
— BERNAMA
N41: PUTERI WANGSA – 128,723 pengundi
1. Nicholas Paul Vincent (Bersama)
2. Wang Wee Siong (Bebas/IND)
3. Dr Maszlee Malik (PH-PKR)
4. Rashifa Aljunied (MUDA)
5. Teow Chia Ling (BN-MCA)
(2022: Amira Aisya Abd Aziz: MUDA: Maj: 7,114)
















Tinggalkan Balasan