Agensi Penerbangan Thailand Siasat Kes Pramugari Didakwa Miliki Heroin Di Australia

BANGKOK, 30 Jun — Agensi penerbangan Thailand bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan di Thailand dan Australia susulan penahanan seorang kru kabin warga Thailand serta rampasan heroin oleh pihak berkuasa Australia di Melbourne, lapor Xinhua.

Thai Airways International menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada Isnin memaklumkan syarikat itu akan mendapatkan gambaran penuh mengenai kes berkenaan serta memberikan kerjasama kepada pihak penguat kuasa mengikut prosedur undang-undang tempatan.

Menurut kenyataan Polis Persekutuan Australia (AFP) pada Isnin, pegawai Pasukan Sempadan Australia (ABF) memeriksa bagasi wanita warga Thailand berusia 26 tahun itu ketika pesawat antarabangsa yang dikendalikannya tiba di Lapangan Terbang Melbourne pada Khamis.

Semasa pemeriksaan menggunakan mesin sinar-X, pegawai menemui serbuk putih yang disembunyikan di dalam lapisan bagasi berkenaan. AFP memaklumkan lebih satu kilogram heroin dirampas.

Thai Airways menegaskan syarikat itu menguatkuasakan peraturan secara tegas terhadap semua kakitangan, termasuk juruterbang dan pramugari, yang melarang mereka memiliki, membawa masuk, mengangkut atau terlibat dalam sebarang kegiatan haram membabitkan dadah atau bahan larangan lain.

Berdasarkan maklumat awal, syarikat penerbangan itu memaklumkan kes berkenaan membabitkan tindakan individu kru kabin terbabit yang kini berdepan proses kehakiman rasmi di Australia.

Syarikat itu turut mendapatkan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan hak asasi kakitangan berkenaan dari segi perundangan terus dilindungi, selain berjanji memberikan kerjasama penuh kepada semua pegawai penyiasat.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT), selaku pengawal selia keselamatan penerbangan awam negara itu, turut memaklumkan pada Isnin bahawa pihaknya telah menyelaras tindakan dengan pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan berkaitan bagi mengesahkan fakta serta menyemak prosedur operasi.

Pengawal selia itu mengesahkan semua pemeriksaan keselamatan penumpang dan bagasi di seluruh Thailand mematuhi peraturan dalaman serta selaras dengan piawaian dan garis panduan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

CAAT menjelaskan pemeriksaan keselamatan penerbangan bertujuan menghalang barangan larangan daripada dibawa ke dalam pesawat, manakala penguatkuasaan berkaitan kes narkotik terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa yang berwibawa dan memerlukan kerjasama bersepadu antara agensi di dalam serta luar negara.

Sambil memaklumkan bahawa pihaknya bekerjasama dengan syarikat penerbangan itu bagi meneliti hasil siasatan awal, CAAT berkata sekiranya kakitangan terbabit didapati bersalah, pihaknya akan mengambil tindakan pengawalseliaan mengikut kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang penerbangan bagi mengekalkan standard keselamatan serta keyakinan orang ramai terhadap sistem penerbangan awam Thailand.