China, Arab Saudi Bincang Hubungan Dua Hala, Situasi Asia Barat

BEIJING, 1 Julai — Menteri Luar China Wang Yi menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan Al Saud di sini pada Selasa.

Dalam pertemuan itu, Wang Yi berkata hubungan perkongsian strategik komprehensif China-Arab Saudi semakin diperkukuh sejak dimeterai 10 tahun lepas.

“Hubungan itu kini berkembang menjadi contoh kepada negara-negara Selatan Global untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata China bersedia bekerjasama dengan Arab Saudi untuk meningkatkan kepercayaan strategik, mempergiat komunikasi dan kerjasama, serta melonjakkan perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara ke tahap kualiti dan taraf lebih tinggi, selain membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Menyentuh mengenai situasi di Asia Barat, Wang berkata China mengalu-alukan rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran.

“China bersedia bersama-sama Arab Saudi untuk terus menyumbang kepada usaha meredakan ketegangan, demi mewujudkan ketenteraman berpanjangan di rantau itu,” katanya.

Beliau berkata China turut menyokong Arab Saudi memainkan peranan lebih penting dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau, serta bersama-sama memelihara kewibawaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mempromosi pembinaan sistem tadbir urus global yang lebih adil dan saksama.

Dalam pertemuan itu, Putera Faisal berkata hubungan Arab Saudi-China diasaskan atas prinsip saling menghormati dan mempercayai, kesaksamaan dan keuntungan bersama.

Arab Saudi amat mementingkan hubungan dengan China dan teguh berpegang kepada prinsip satu China, katanya. 

“Arab Saudi bersedia mengambil peluang sempena ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif Arab Saudi-China untuk meningkatkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, mempererat pertukaran rakyat dengan rakyat, selain mempergiat kerjasama dalam bidang pelaburan, kewangan, tenaga, kecerdasan buatan (AI) dan bidang lain, bagi mendorong hubungan kedua-dua negara terus maju ke hadapan,” kata beliau. 

Beliau juga menegaskan Arab Saudi menyokong siri inisiatif global yang digagaskan Presiden China Xi Jinping dan bersedia bekerjasama rapat dengan China di peringkat pelbagai hala bagi mempertahankan kepentingan bersama negara-negara membangun.

“Arab Saudi memuji peranan konstruktif China dalam meredakan ketegangan di Asia Barat dan berharap dapat berganding bahu dengan China bagi mewujudkan keamanan dan kestabilan di rantau itu secepat mungkin,” katanya.