PM Anwar Rasmi SParK 2026, PUNB Sasar Pembiayaan RM2.25 Bilion Bagi 2026–2030

PUTRAJAYA, 4 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan SParK 2026: Transformasi Niaga, platform utama Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), dengan agensi itu menyasarkan kelulusan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk memperkukuh pembangunan usahawan bumiputera.

Sasaran di bawah Kerangka Strategik R30 itu bertujuan mempercepat pertumbuhan syarikat bumiputera, meningkatkan keupayaan penskalaan komersial, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta mengukuhkan rantaian bekalan utama negara.

Ditanya mengenai sasaran PUNB untuk meluluskan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion serta harapan beliau terhadap usahawan bumiputera, Anwar berkata badan nasional yang ditubuhkan bagi pembangunan usahawan Bumiputera itu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan setakat ini.

“Sekiranya prestasi tersebut dapat dikekalkan, kerajaan akan mempertimbangkan penambahan peruntukan daripada Kementerian Kewangan.

“Pada masa ini, PUNB merupakan antara agensi yang melaksanakan agenda kerajaan dengan memberi tumpuan kepada keutamaan yang telah digariskan, selain bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, PUNB, menurut Anwar, turut mengumumkan penurunan kadar pembiayaan PROSPER GROW kepada serendah 3.5 peratus setahun, selain memperkenalkan tiga program baharu iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ bagi memudahkan akses pembiayaan serta memperkukuh modal kerja usahawan.

Sasaran pembiayaan itu akan digerakkan menerusi kemudahan sedia ada PUNB seperti PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA, di samping penambahbaikan program yang lebih bersasar mengikut keperluan sebenar usahawan.

Penganjuran SParK 2026, yang diadakan menjelang ulang tahun ke-35 PUNB, menghimpunkan Rakan Usahawan PUNB, usahawan bumiputera, tokoh korporat, pemain industri, penggiat digital, agensi pembangunan serta rakan strategik menerusi persidangan, perkongsian ilmu, pameran perniagaan dan aktiviti jualan.

Program dua hari itu menyediakan platform kepada usahawan untuk mendapatkan pandangan industri, membina jaringan strategik, memperkenalkan produk serta meneroka peluang baharu dalam ekosistem perniagaan yang semakin kompetitif.

Pengerusi PUNB Tan Sri Rastam Mohd Isa, berkata SParK diwujudkan bagi mempertemukan ilmu, pasaran, jaringan dan peluang pertumbuhan kepada usahawan.

.“SParK bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya sebuah platform transformasi yang mencerminkan komitmen PUNB dalam melahirkan usahawan bumiputera yang lebih tersusun, berdaya saing dan berdaya tahan untuk jangka panjang.

“Keutamaan PUNB adalah memastikan lebih banyak syarikat bumiputera dapat mengembangkan perniagaan, memperkukuh tadbir urus dan berkembang secara mampan selaras dengan agenda pembangunan negara,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 1991, PUNB telah membangunkan lebih 15,500 Rakan Usahawan menerusi pelbagai program pembiayaan dan sokongan perniagaan, dengan jumlah pembiayaan diluluskan mencecah RM5.15 bilion merangkumi pelbagai sektor perniagaan bumiputera.

Rastam berkata jumlah itu bukan sekadar ukuran kewangan, sebaliknya mencerminkan pertumbuhan perniagaan, peluang pekerjaan yang diwujudkan serta keupayaan syarikat bumiputera untuk berkembang ke tahap lebih tinggi dan mampan.

Beliau berkata peranan PUNB kini semakin berkembang apabila skop pembiayaan dan sokongannya tidak lagi tertumpu kepada sektor peruncitan dan pengedaran konvensional, sebaliknya diperluaskan kepada sektor berimpak tinggi dan aktiviti ekonomi bernilai tambah.

Pada majlis sama, PUNB memeterai pertukaran memorandum persefahaman dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bagi memperkukuh pembangunan usahawan berasaskan data, teknologi dan inovasi.

Kerjasama itu dijangka meningkatkan keupayaan PUNB dalam merancang serta menilai program pembangunan usahawan dengan lebih tepat, di samping membuka peluang lebih luas kepada usahawan dalam bidang teknologi, inovasi dan pengkomersialan.

Turut berlangsung penyampaian Anugerah Usahawan SParK 2026 kepada lima Rakan Usahawan PUNB sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, daya tahan dan disiplin perniagaan mereka dalam membangunkan perniagaan secara mampan, mewujudkan peluang pekerjaan, mengembangkan pasaran serta mempamerkan kepimpinan perniagaan yang berkesan.