Trump Berlepas Ke Turkiye Untuk Sidang Kemuncak NATO

WASHINGTON, 7 Julai — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berlepas dari Rumah Putih pada lewat Isnin menuju ke Ankara, Turkiye bagi menghadiri sidang kemuncak NATO serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut laporan kumpulan media Rumah Putih, konvoi presiden meninggalkan Rumah Putih pada 9.03 malam waktu tempatan (0103 GMT Selasa) menuju ke Joint Base Andrews di Camp Springs, Maryland, sebelum pesawat Air Force One berlepas pada 9.41 malam (0141 GMT).

Turut mengiringi Trump dalam pesawat Air Force One antaranya Setiausaha Negara Marco Rubio, Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth.

Trump dijadual tiba di Ankara pada petang Selasa dan akan disambut oleh Presiden Erdogan dalam istiadat sambutan rasmi.

Kedua-dua pemimpin kemudian akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu dua hala.

Menurut Pengarah Komunikasi Turkiye Burhanettin Duran dalam satu kenyataan, perbincangan itu akan meneliti hubungan Turkiye-AS “dalam semua dimensi, termasuk pertahanan, perdagangan dan pelaburan”, selain membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperkukuh kerjasama sedia ada.

Pada Rabu, Trump akan menghadiri istiadat sambutan rasmi dan sesi bergambar pemimpin, diikuti sesi kerja pemimpin NATO, menurut Rumah Putih.

Beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dan Presiden Syria Ahmad al-Sharaa.