PUTRAJAYA, 9 Julai — Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul hari ini menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda bagi pilihan raya di Johor akan datang,” kata Anutin pada akhir sidang media bersama-sama Anwar sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia di sini hari ini.
PRN Johor ke-16 pada Sabtu ini menyaksikan 172 calon bersaing merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pakatan Harapan yang dipimpin Anwar meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang menampilkan gabungan muka lama dan baharu daripada PKR, DAP dan Amanah.
Sementara itu, Anwar menyifatkan pertemuan beliau dengan Anutin sebagai mesra dan produktif serta menyifatkan perbincangan tersebut seperti pertemuan antara rakan karib.
“Datanglah lagi (ke Malaysia) dalam masa terdekat kerana kehadiran anda membuatkan kami selesa, gembira dan sangat tenang. Rakan-rakan saya pastinya bersetuju apabila saya katakan pertemuan ini seolah-olah seperti rakan lama,” katanya.
Anutin tiba di Malaysia hari ini bagi mengadakan lawatan rasmi selama dua hari atas undangan Anwar. Lawatan itu kunjungan pertama beliau ke negara ini sejak dilantik semula sebagai Perdana Menteri pada Mac 2026.
Lawatan berkenaan bertujuan memperkukuh hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Thailand, selain memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang berkepentingan bersama.















Tinggalkan Balasan