Tenaga Ekonomi Gig Disaran Ikuti Program Upskilling, Reskilling – Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU, 9 Julai — Golongan muda yang terlibat dalam sektor ekonomi gig disaran terus mengikuti program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kemahiran serta membuka peluang kerjaya yang lebih luas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu perlu bagi memperkasakan kira-kira 1.2 juta pekerja ekonomi gig di negara ini, termasuk lepasan sekolah yang didapati tidak mempunyai sebarang kemahiran atau kelayakan khusus.

Beliau berkata HRD Corp mempunyai peruntukan kira-kira RM3 bilion yang boleh dimanfaatkan bagi melaksanakan program peningkatan dan latihan semula kemahiran.

“HRD Corp mempunyai peruntukan kira-kira RM3 bilion untuk mengadakan kursus-kursus upskilling dan reskilling ini.

“…dana yang disumbangkan syarikat-syarikat itu juga digunakan bagi mereka yang terlibat dalam ekonomi gig. Jadi, ini akan menyebabkan kita mempunyai guna tenaga yang berkemahiran dan kita tidak mahu mereka tamat kerjaya hanya sebagai pemandu kenderaan dalam ekonomi gig,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program “Apa Kata Siswa?” di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Ahmad Zahid berkata langkah itu bertujuan melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran serta meningkatkan mobiliti kerjaya pekerja gig agar mereka tidak hanya bergantung kepada satu bentuk pekerjaan sepanjang hayat.

Beliau berkata inisiatif berkenaan telah dimulakan sejak 2 Jan lepas dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat serta memohon kursus melalui portal upskilltvet.com.my.

Selain itu, katanya, kerajaan bersedia menyediakan kursus yang bersesuaian sekiranya terdapat permintaan daripada pekerja gig, selain memperluas akses kepada latihan kemahiran menerusi institusi pengajian tinggi di seluruh negara.