Lebih 50 Lokasi Tarikan Pelancong Utama Di Shanghai Ditutup Akibat Taufan Bavi

SHANGHAI, 11 Julai — Lebih 50 lokasi tarikan pelancong utama di Shanghai ditutup sementara atau menyesuaikan waktu operasinya setakat 4 petang Sabtu ketika Taufan Bavi menghampiri pantai timur China, menurut Pentadbiran Kebudayaan dan Pelancongan Perbandaran Shanghai serta pengendali lokasi tarikan pelancong, lapor Xinhua.

Shanghai Disneyland menyesuaikan waktu operasinya pada Ahad dan akan dibuka dari 12 tengah hari hingga 9.30 malam. Sementara itu, LEGOLAND Shanghai Resort menggantung sementara aktiviti sempena festival musim panasnya pada Sabtu dan akan ditutup sepenuhnya kepada pengunjung pada Ahad.

Pihak berkuasa di Shanghai menaik taraf tindak balas kecemasan banjir dan taufan bandar itu kepada Tahap III, iaitu tahap ketiga tertinggi dalam sistem tindak balas kecemasan empat peringkat negara itu, pada petang Sabtu. Setakat tengah hari Sabtu, seramai 34,000 penduduk di kawasan berisiko tinggi di Shanghai telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan, Taufan Bavi, iaitu taufan kesembilan tahun ini, dijangka membadai kawasan pantai antara Wenling dan Rui’an di Wilayah Zhejiang, timur China, dari malam Sabtu hingga awal Ahad.

Wilayah Zhejiang menaikkan tahap tindak balas kecemasan taufan ke Tahap I pada Sabtu. Setakat 8 pagi Sabtu, hampir 1.72 juta penduduk telah dipindahkan ke lokasi selamat, menurut pihak berkuasa tempatan.

Taufan itu juga diramalkan membawa hujan lebat dan angin kencang ke bandar seperti Ningde, Nanping dan Sanming di Wilayah Fujian yang berjiran dengan Zhejiang. Pihak berkuasa di Fujian telah memindahkan 188,400 penduduk dari kawasan berisiko setakat 5 petang Sabtu.