PTJSD Kekal Ikut Jadual, Capai Kemajuan 28.7 Peratus – PLUS

GEORGE TOWN, 14 Julai — Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua (PTJSD) terus mencatat perkembangan positif apabila Pakej 1 projek itu mencapai 28.75 peratus kemajuan keseluruhan setakat 12 Julai lepas dan kekal mengikut jadual pelaksanaan.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan antara pencapaian utama projek itu ialah kerja awalan yang telah siap sepenuhnya, manakala kerja pengalihan utiliti telah mencapai 70 peratus dan kerja geoteknikal pula mencatat kemajuan 68 peratus.

“Pakej 1 melibatkan kerja menaik taraf Bulatan Timur-Barat, penambahbaikan sistem lampu isyarat di bulatan berkenaan bagi melancarkan aliran trafik serta pembinaan laluan susur bertingkat baharu di Jalan Tun Hussein Onn,” menurut hantaran di laman Facebook.

PLUS memaklumkan apabila siap pada Oktober 2027, PTJSD akan membantu meningkatkan kelancaran trafik, mengurangkan kesesakan, memperkukuh aspek keselamatan serta memberikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa kepada pengguna lebuh raya dan penduduk setempat.

Projek sepanjang 17.3 kilometer, merentasi tiga daerah utama iaitu Seberang Perai Selatan, Tengah dan Utara akan memberi manfaat kepada 200,000 pengguna harian jajaran berkenaan.

PTJSD yang dianggarkan melibatkan kos RM3 bilion dijangka mengurangkan kesesakan trafik dengan 30 peratus akan beralih ke laluan terus baharu Juru-Sungai Dua yang disediakan sekali gus menjimatkan masa perjalanan semasa dari satu jam kepada hanya 20 minit pada waktu puncak.

Ia dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia bagi menangani isu kesesakan lalu lintas di koridor Juru–Sungai Dua yang menjadi laluan utama menghubungkan Pulau Pinang dengan negeri-negeri di utara Semenanjung.