KUALA LUMPUR, 15 Julai — Syarikat pembinaan Gamuda Bhd menerusi syarikat usaha sama (JV) memeterai perjanjian bekalan air pukal dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi air terawat dari Perak di bawah Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS).
Perjanjian itu dimeterai oleh Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd (PAIP), anak syarikat milik penuh Khazanah Air Perak Sdn Bhd (KAP) yang diperbadankan sebagai syarikat usaha sama dengan kepentingan 50:50 antara Gamuda dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bagi pelaksanaan NPWSS.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Gamuda memaklumkan perjanjian itu mewujudkan rangka kerja komersial jangka panjang bagi pengaturan bekalan air terawat selama 40 tahun yang merangkumi kawal selia penjualan, bekalan serta pembelian air terawat dari Kerian, Perak Utara ke sempadan Pulau Pinang.
“Sasaran tarikh bagi permulaan bekalan air terawat itu adalah pada 31 Mac, 2032 dan berakhir pada 2072.
“Pihak penerima menerima sejumlah 300 juta liter sehari (MLD) dan sehingga 500 MLD sebagai kapasiti reka bentuk maksimum loji rawatan air pada kadar kira-kira RM1.1507 hingga RM1.9178 bagi setiap meter padu berdasarkan pengambilan minimum iaitu bersamaan kira-kira RM210 juta setahun,” menurut syarikat itu.
Gamuda memaklumkan, perjanjian itu akan menyumbang pendapatan berulang kepada syarikat daripada penjualan air itu apabila operasi itu dimulakan.
Pada masa sama, Pulau Pinang akan menerima sumber baharu bekalan air bagi tempoh sepanjang 40 tahun.
“Projek NPWSS dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan Gamuda menerusi pembangunan serta pembinaan infrastruktur projek dan disusuli pendapatan berulang daripada aktiviti pembekalan, operasi dan penyelenggaraan apabila air itu mula disalurkan,” menurutnya.

















Tinggalkan Balasan